MERSING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad menafikan penama wanita yang dikaitkan dalam laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS) adalah isterinya.
Dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Mersing turut bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan kes tersebut.
“Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek kapal tempur pesisir (LCS), saya menegaskan bahawa Zainab Mohd. Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut.
“Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa ingin menjalankan siasatan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti dalam projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd. Latiff.
Rafizi mendakwa, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd. Latiff.
Menurutnya, Abd. Latiff adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013, manakala Menteri Pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Abd. Latif meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN