BUTTERWORTH: Meskipun baru dilancarkan di Semenanjung hujung tahun lepas, Parti Warisan (Warisan) tetap yakin mampu mengetengahkan calon yang berwibawa serta berpotensi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, ini termasuk calon yang bakal bertanding di Pulau Pinang walaupun ketika ini parti itu belum menentukan calon sesuai selain jumlah kerusi yang akan ditandingi di negeri itu kelak.
“Kami (Warisan) tidak takut untuk mencuba (bertanding PRU-15) kerana kami mempunyai calon-calon yang hebat dan berpotensi.
“Walaupun peluang untuk menang mungkin tipis, kami harus terus mencuba kerana dalam keadaan atau senario politik ketika ini, (parti dari) Sabah dan Sarawak mungkin akan menjadi king makers (penentu) kepada siapa yang akan membentuk kerajaan selepas ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika majlis pelancaran parti itu bagi peringkat negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Penyelaras Warisan bagi Semenanjung, Dr. Rajiv Bhanot dan Pengerusi Warisan Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun.
Selain Pulau Pinang, parti itu kini telah bertapak di beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Dalam pada itu, Rajiv memberitahu, fokus utama Warisan di Semenanjung dan Sabah ketika ini ialah untuk menguatkan parti dan akar umbi tanpa mengambil keperluan bekerjasama dengan parti-parti lain.
Menurut beliau, ketika ini juga khususnya di Semenanjung, pihaknya sedang mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi untuk ditandingi dan mempunyai harapan untuk menang pada PRU-15.
“Setakat ini cuma dua negeri sahaja di Semenanjung yang kita tidak akan lancarkan struktur pentadbiran iaitu di Terengganu dan Pahang,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu katanya, Warisan harus realistik dalam pendekatan mereka untuk bertanding pada PRU-15.
“Kita tidak mahu bertanding di semua tempat. Kita hanya mahu bertanding di kerusi-kerusi yang kita yakin ada peluang besar untuk menang sahaja,” katanya. –UTUSAN










