GERIK: Seorang wanita Orang Asli cedera parah diserang gajah liar di kebun dekat belakang rumahnya di Kampung Katong, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di sini, kelmarin.
Kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun patah tangan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku ketika mangsa pergi ke belakang rumahnya untuk mencari buah durian.
Menurut beliau, tanpa mangsa sedari terdapat seekor gajah di tempat berkenaan yang kemudian menyerang wanita itu.
“Jarak kebun dengan rumah mangsa lebih kurang 20 meter. Mangsa telah menerima rawatan awal di Klinik RPS Kemar sebelum dihantar ke Hospital Gerik pada hari sama untuk rawatan lanjut.
“Mangsa bagaimanapun telah dipindahkan ke Hospital Taiping dan kini dirawat dalam wad ICU,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini. – UTUSAN