KLUANG: Seorang wanita maut, manakala seorang lelaki cedera parah apabila kereta yang dipandu mereka bertembung di Kilometer 86.5, Jalan Kota Tinggi-Kluang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 4.40 petang itu menyebabkan Noorazimah Ismail, 40, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Walau bagaimanapun, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah di kepala dan muka serta kini masih dirawat di hospital sama.
“Hasil siasatan mendapati pemandu wanita dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke bandar Kluang telah bertembung dengan kenderaan dipandu oleh lelaki berkenaan.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kenderaan dipandu lelaki berkenaan memasuki laluan pemandu wanita sebelum berlaku pertembungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Fauzi Mohd. Nor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 4.45 petang.
Sembilan anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Noorhakim Nordin dengan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, anggota mendapati benar berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dengan kedua-dua pemandu mengalami kecederaan parah dan tersepit,” katanya.
Anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan memberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans yang datang kemudian. – UTUSAN