KOTA KINABALU: UMNO Sabah memberi akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung mana-mana bahagian yang didapati menyekat cawangan mengadakan mesyuarat perwakilan dan aktiviti di peringkat cawangan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun tiada laporan mengenai situasi itu di Sabah namun, sekiranya berlaku maka, tindakan tegas akan diambil.
Beliau berkata, difahamkan beberapa bahagian UMNO bertindak menyekat cawangan melaksanakan mesyuarat perwakilan hanya kerana pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan ketua bahagian.
“Keadaan itu menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat cawangan.
“Sekatan sebegini bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan ketua bahagian,” katanya semasa merasmikan program Retreat UMNO negeri Melaka, semalam.
Menurut beliau, tindakan menyekat cawangan-cawangan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian itu bertentangan dengan amalan demokarasi yang sihat dan boleh menjejaskan kekuatan parti.
Mengulas lanjut katanya, program Retreat UMNO Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program diharap membolehkan UMNO Sabah berkongsi inspirasi tentang strategi memperkukuhkan parti.
“Kita telah mengembalikan maruah UMNO melalui kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan dan saya beharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program akan memberikan idea baharu kepada pemimpin UMNO Melaka kerana UMNO Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ramai pemimpin UMNO meninggalkan parti namun, masih ada pemimpin UMNO yang kekal teguh dengan prinsip perjuangan parti.
“Susulan itu, UMNO Sabah kembali bangkit selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan PRN Sabah hingga membolehkan UMNO masih kekal bertapak di Sabah,” katanya.
Jelas beliau, walaupun ada pihak tertentu mendakwa UMNO Sabah akan terkubur selepas PRU-14 namun, kepimpinan sekarang membuktikan UMNO masih berdiri teguh di Sabah.
Hadir sama ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dan Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.- UTUSAN










