PUTRAJAYA: UMNO Bahagian Putrajaya bersedia turun berpiket bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekiranya ia diadakan bagi menyokong perjuangan kesatuan itu untuk peningkatan gaji skim penjawatanan kerajaan.
Perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bahagian UMNO itu dipengerusikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini.
Dalam satu kenyataan, UMNO Bahagian Putrajaya berkata, perjuangan CUEPACS sewajarnya diangkat dan disokong pelbagai pihak yang antaranya sudah lama penjawat awam menggunakan skim gaji lama yang tiada penambaikan dan tidak ada semakan gaji.
Katanya, kerajaan kali terakhir membuat penetapan gaji minimum pada takat RM1,200 yang sebelum ini diperkenalkan pada 2013.
“Pemberian Kenaikan Gaji Kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia kali terakhir pula hanya dilaksanakan pada 15 tahun yang lalu (2007).
“Peningkatan kos sara hidup yang dirasai seluruh dunia sudah pasti dirasai semua termasuk penjawat awam. Ia sedikit sebanyak membantu penjawat awam untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang tidak boleh dielakkan,” katanya.
Menurutnya, gaji penjawat awam di negara Asia lain juga adalah lebih tinggi mengikut dapatan purata dikeluarkan Bank Dunia termasuk India, Korea, dan negara jiran Thailand.
Katanya, peningkatan gaji adalah penting untuk membantu kawalan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Selain itu, katanya, kenaikan Gaji Tahunan yang dijanjikan Barisan Nasional ketika PRU14 adalah wajar dipertimbang semula untuk menjaga kebajikan penjawat awam.
“Oleh demikian, UMNO Bahagian Putrajaya memandang serius perjuangan ini dan memberikan sokongan penuh kepada CUEPACS untuk memelihara kepentingan penjawat awam di seluruh negara.
“UMNO Putrajaya meminta kerajaan mengkaji semula gaji dan elaun Kakitangan Awam sejajar dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya.

Sebelum ini CUEPACS menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan daripada penjawat awam.
Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun tiada tindakan diambil. – UTUSAN










