IPOH: UMNO Perak mula mengumpul petisyen memohon keampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau telah mengarahkan Badan Perhubungan UMNO negeri mengeluarkan pekeliling bagi mengumpul tanda tangan ahli-ahlinya.
Katanya, terdapat 300,000 ahli UMNO di seluruh Perak dan semua mereka diminta menandatangani petisyen pada mesyuarat cawangan yang sedang berjalan ketika ini.
“Kita mulakan sekarang di Perak dan saya arahkan UMNO Perhubungan negeri untuk mengeluarkan pekeliling supaya kita dapat anjurkan tandatangan beramai-ramai dalam kalangan ahli UMNO Perak.
“Secara kebetulan UMNO sedang mengadakan mesyuarat cawangan, jadi semasa mesyuarat cawangan itu boleh buat tanda tangan petisyen,” katanya selepas Program Mesra Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini hari ini.
Saarani, yang juga Pengerusi BN Perak berkata, saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar parti mengumpul petisyen pengampunan diraja bagi Najib bukanlah satu perkara pelik.
Katanya, ini kerana penyokong bersimpati dengan keadaan bekas perdana menteri itu hingga berhasrat untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong agar Ahli Parlimen Pekan tersebut diampun dan dibebaskan.
Bagaimanapun katanya, pihak istana perlu melihat berapa ramai orang yang menandatangani petisyen memohon pembebasan Najib.
“Sudah tentulah pihak istana nak tengok berapa ramai orang minta, UMNO ada keahlian tiga juta seluruh negara dan kalau semua yang ini buat petisyen yang sama, alangkah baiknya,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid meminta ahli UMNO supaya menyokong petisyen pengampunan terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib. – UTUSAN