Lebih daripada sekadar ‘poster boy’ bahkan Menteri Besar adalah yang diharapkan akar umbi Barisan Nasional (BN) di Selangor terhadap Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ditambah dengan kesemua 22 UMNO Bahagian di negeri itu bersedia memberi sokongan kepadanya.
Namun, sehingga kini terjemahan akar umbi hanya terlihat menerusi sokongan ketika Ahli Dewan Negara itu hadir pada program di Kuala Selangor serta sorakan gegak-gempita diterimanya dalam Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor apabila diumum sebagai Bendahari BN yang baharu di negeri ini, Ahad lalu.
Sokongan terhadap Tengku Zafrul mungkin tiada masalah di kawasan-kawasan subbandar seperti Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam kerana di situ majoriti pengundinya adalah Melayu.
Kawasan tersebut tidak lagi boleh disebut sebagai luar bandar, sebaliknya subbandar kerana mudah diakses dengan kemudahan lebuh raya, capaian internet dan ada antara penduduknya bekerja di bandar-bandar besar.
Namun, itu baru melibatkan tiga parlimen dan sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN), walau bagaimanapun terdapat 11 parlimen serta 26 DUN lain yang pengundi Melayunya dikenal pasti melebihi 50 peratus.
Demografi
Tetapi, beliau tidak boleh terlalu bergantung kepada undi demografi kaum Melayu semata-mata kerana terdapat lapan parlimen dan 19 lagi DUN yang dikenal pasti dalam bandar seperti Damansara, Subang Jaya, Puchong, Petaling Jaya, Kota Raja dan Klang menjadi tempat tinggal bagi 92.5 peratus penduduk Selangor.
Justeru, sokongan kepada Tengku Zafrul perlu diuji dalam kawasan lain yang pengundi Melayunya kurang daripada 50 peratus, jika beliau benar-benar mahu diangkat sebagai Menteri Besar Selangor pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.
Di dalam dewan, BN memerlukan 29 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, jika demografi Melayu menjadi pengukur sokongan, parti itu perlu mengira pecah undi dalam saingan empat penjuru atau lebih antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti lain seperti Parti Berjasa (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa (Putra) dan bebas.
Oleh demikian, 19 DUN lain yang majoriti pengundinya adalah bukan Melayu mesti dimasukkan dalam akaun sokongan kepada BN, jadi Tengku Zafrul dan parti perlu turun ke kawasan tersebut untuk diuji sokongannya.
Dari sudut UMNO, Tengku Zafrul mungkin tiada masalah untuk ‘diusung’ oleh jentera apabila UMNO Bahagian (Kuala Selangor) yang sebelum ini dianggap penghalang kepadanya sudah pun bekerjasama sejak sebulan lalu.
“Dicadangkan beliau menjadi Menteri Besar Selangor. Semua (Ketua Bahagian) setuju, dalam keadaan sekarang kita di Selangor sebagai pembangkang, kita perlukan orang sepertinya, beliau pun nampak bersih, orang baharu, tak ada isu.
“Jadi, UMNO Selangor memang ada berbincang dan semua setuju. Akar umbi nampak bersetuju,” kata Datuk Jahaya Ibrahim.
Selain itu, bertanding di DUN dan juga Parlimen mungkin menjadi peluang kepada Tengku Zafrul dan BN menang di Selangor lebih cerah apabila sebagai calon berpengalaman dan kini menganggotai Kabinet, suara negeri akan kuat di Dewan Rakyat.- UTUSAN










