Udara tidak sihat di Sri Aman akibat pembakaran terbuka pertanian

Udara tidak sihat di Sri Aman, Sarawak akibat pembakaran terbuka pertanian

WAN ABDUL LATIFF WAN JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan aktiviti pembayaran secara terbuka yang menyebabkan satu kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu di Sri Aman, Sarawak.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pemantauan di stesen Sri Aman, Sarawak bacaan yang tidak sihat dicatatkan pada pagi ini adalah disebabkan oleh pembakaran terbuka di kawasan pertanian berhampiran dengan stesen tersebut. 

Selain itu katanya, Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman web JAS pada hari ini jam 9 pagi melalui Air Pollutant Index of Malaysia (APIMS) di laman http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html menunjukkan 12 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik. 

“Malah 55 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan satu kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu di Sri Aman, Sarawak akibat pembakaran terbuka di kawasan pertanian berhampiran dengan stesen tersebut. 

“Laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 11 Ogos 2022 mendapati bilangan titik panas yang dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 terdapat sebanyak enam titik panas dikesan dalam negara iaitu dua di Pahang, satu di Perak dan tiga di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Wan Abdul Latiff berkata, semua titik panas yang dikesan akan disiasat dibawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

Katanya, terdapat juga 97 titik panas dikesan di Kalimantan dan 70 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia. 

“Peta jerebu serantau yang ditunjukkan ASMC (http://asmc.asean.org/home/) menunjukkan bahawa jerebu asap sederhana diperhatikan di sekitar gugusan titik panas yang dikesan di Kalimantan Barat dan Sarawak.

“Monsun Barat Daya telah bermula pada 14 Mei 2022 dan dijangka berterusan sehingga 

pertengahan September 2022. Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil yang menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini,” katanya. 

Beliau berkata, susulan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain dan menyebabkan taburan hujan yang rendah.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Latiff berkata, penduduk berhampiran kawasan yang IPU melebihi 150 dinasihatkan mengurangkan akiviti di luar rumah atau bangunan dan jika perlu berada keluar maka digalakkan memakai pelitup muka. 

“Semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak 

bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. 

“Mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh maksimum 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN