PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) mengadakan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 bagi meraikan perjalanan setengah abad dengan tema ‘Bersama Meneruskan Legasi’.
Majlis tersebut adalah tanda penghargaan UDA kepada ahli lembaga pengarah, warga kerjanya, pelanggan dan rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka sejak 1971.
Majlis tersebut dimulakan dengan kunjungan ke pameran yang memaparkan setiap kenangan dan detik perjalanan UDA sebagai sebuah organisasi yang dipertanggungjawabkan menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar serta mengagih peluang perdagangan merangkumi semua kaum di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan tetamu kehormat pada majlis itu dalam ucapannya berkata, sejak penubuhannya, UDA sentiasa menyumbang kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dan menangani ketidakseimbangan ekonomi negara.
“Sambutan ulang tahun ke-50 UDA pada malam ini membuktikan kesepaduan antara semua pihak yang menjadi faktor utama menyumbang kepada kelangsungan operasi organisasi ini dalam setiap segmen perniagaannya.
“Penyediaan ruang niaga yang kondusif di kompleks-kompleks beli-belah UDA, lebih-lebih lagi dengan lokasinya yang strategik, menggambarkan UDA sentiasa fokus dalam memperkasa Keluarga Usahawan serta membuka peluang bagi mereka menjalankan perniagaan di kawasan maju dan kompetitif,” katanya semasa merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 UDA di Hotel One World, di sini.
Majlis sambutan jubli emas itu turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Datuk Seri Jalaluddin Alias; Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.
Seiring dengan sambutan lima dekad itu, UDA turut melancarkan penjenamaan baharu iaitu LIFE sebagai tonggak utama perniagaan UDA dalam terus melakar kejayaan pada masa akan datang.

Penjenamaan baharu tersebut yang membawa makna Legacy, Integrated, Finesse dan Enrich adalah tanda organisasi itu akan terus komited dalam menggalas mandat dengan melaksanakan pembangunan berterusan seiring dengan hasrat kerajaan dan memastikan mereka lebih dikenali serta dekat di hati.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, penjenamaan baharu itu akan menjadi identiti UDA yang terus komited membantu negara dalam memajukan komuniti masyarakat negara.
“Setelah lima dekad, UDA komited merangka pelan terbaik dengan memperkenalkan penjenamaan baharu iaitu LIFE yang akan menjadi DNA UDA bagi memajukan pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti serta perhotelan demi melahirkan komuniti yang inklusif seiring dengan hasrat kerajaan melahirkan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’.
“Konsep LIFE juga mampu mencorak pembangunan yang seimbang dan lestari bagi memperkasa kehidupan komuniti setempat dengan menyumbang kepada komuniti sebagai tanda penghargaan UDA atas sokongan yang berterusan,” katanya.
Bagi terus menghargai jasa UDA pada negara dari segi pembangunan, Ismail Sabri turut melancarkan sebuah buku yang mengabadikan perjalan, kejayaan dan transformasi mereka dengan tajuk ‘Buku 50 Tahun UDA’.
Buku yang bakal menjadi rujukan kepada generasi akan datang itu turut mempersembahkan bagaimana UDA mencorak dan memodenkan pembangunan negara merangkumi pembangunan hartanah serta keusahawanan di kawasan bandar selama lima dekad.
Pada majlis sama, UDA turut menyampaikan hadiah kepada pemenang utama kempen hartanah ‘UDA 50 Golden Offers’ iaitu sebuah kereta Proton X50 kepada Ahmad Shahrul Mohamed, 52, yang membeli produk hartanah terbaharu di Kuala Lumpur iaitu 38 Bangsar Residensi.
Kempen yang berlangsung dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021 itu turut menampilkan hadiah dwibulanan di mana seramai 64 pemenang telah dipilih dan menerima pelbagai hadiah. Ia turut menyaksikan nilai pembelian hartanah sebanyak RM156.1 juta. – UTUSAN










