Tun M jawab empat soalan diaju Apandi  - Utusan Malaysia

Tun M jawab empat soalan diaju Apandi 

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab empat soalan diaju Mohamad Apandi Ali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menjawab empat soalan yang dikemukakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang antaranya melibatkan kedaulatan negara berhubung kes Pulau Batu Puteh dan isu berkaitan kumpulan waris Sulu. 

Berhubung pertanyaan mengenai kenapa tuntutan kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ditarik balik pada Mei 2018, Dr. Mahathir berkata, tuntutan kes tersebut ditarik balik kerana perjanjian dengan ICJ dan Singapura adalah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak. 

Malah, kata beliau, perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa, keputusan diterima oleh kedua-dua pihak Indonesia juga boleh dibuat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

Negara berdaulat

“Janji (perjanjian) antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti.

“Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

“Kesalahan bermula dengan pegawai Kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor. 

“Fakta baru, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohamad Apandi menerusi hantaran di Facebook sebelum ini menuntut penjelasan Dr. Mahathir terhadap empat persoalan termasuk berhubung tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. 

Waris Sulu

Berhubung persoalan mengenai Tommy yang diarah menjawab surat tuntutan oleh waris Sulu sehingga menjadi asas tuntutan mereka di Sepanyol pula, Dr. Mahathir berkata, tuntutan oleh waris tersebut dibuat apabila Malaysia berhenti membuat pembayaran tahunan kerana kononya atas alasan serangan orang yang berlaku di Lahad Datu. 

“Semasa bayaran diteruskan mengikut perjanjian tidak ada masalah dengan pewaris. 

“Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

“Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak jurisdiction (kuasa undangan) mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan. 

“Tidak ada bukti bahawa tindakan Najib telah dipersetujui oleh Peguam Negara pada masa itu atau Kabinet. Najib bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran,” katanya. 

Berhubung kes pemecatan Mohamad Apandi pula, Dr. Mahathir berkata, pemecatan yang dilakukan itu berikutan bekas Peguam Negara itu memutuskan bahawa Najib tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Sedangkan, beliau berkata, perkara itu diketahui seluruh dunia dan bahagian keadilan Amerika Syarikat menyatakan secara terbuka bahawa terdapat pencurian wang 1MDB oleh ‘MO1’, iaitu Najib. 

“Apabila Peguam Negara baru (Tommy) dilantik, ia mendapati ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Dengan itu Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Malaysia. 

“Setelah perbicaraan dimana Najib diberi peluang pertahan dirinya selama lebih satu tahun, mahkamah menghukum bahawa Najib bersalah dalam tujuh kes dan dikenakan denda RM210 juta dan penjara 12 tahun. Setelah rayuan dibuat dengan Mahkamah Rayuan, keputusan Mahkamah Tinggi didakwa benar dan sah. 

Sengaja

“Semua ini menunjuk bahawa Mohamad Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah. 

“Perbuatan Mohamad Apandi menunjuk bahawa ia tidak memegang kepada ‘Rule of Law’. Ia tidak sesuai menjadi Peguam Negara. Memangpun kerajaan berhak untuk menamat pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan daripada  jawatannya,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu meminta Mohamad Apandi mengemukakan bukti bahawa anak-anak beliau menjadi jutawan semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan soalan terakhir Mohamad Apandi. 

“Sebenarnya anak-anak saya tidak pun dibenar berniaga dengan kerajaan atau menyertai parti kerajaan. 

“Jika ada anak yang jadi jutawan sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutawan mereka. 

“Jika tidak ada bukti saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya