Tuduh PM menipu, Wan Saiful tidak beradab - Annuar Musa

Tuduh PM menipu, Wan Saiful tidak beradab – Annuar Musa

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menipu bukan sahaja tidak sopan, malah tidak benar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa juga menyifatkan, Wan Saiful langsung tidak membantu partinya malah lebih merosakkan imej beliau dan Bersatu.

“Bendahari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Samsuri Mokhtar lebih cermat bila mengesahkan ada pertemuan yang turut melibatkan beliau seperti dijelaskan oleh Perdana Menteri. Tertib bahasanya juga jelas dalam menyatakan PN berhasrat menemui Perdana Menteri sekali lagi.

“Harus diingat, tiga daripada empat yang dikatakan wakil Bersatu iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Samsuri adalah anggota jemaah menteri yang setiap minggu berjumpa dan bersama Perdana Menteri. Justeru pertemuan bukanlah sesuatu yang terlalu sulit dan perlu dihebohkan dalam media,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berjumpa Perdana Menteri baru-baru ini tanpa sebarang publisiti.

“Perdana Menteri mungkin mempunyai sebab tersendiri kenapa beliau tidak mahu membesar-besarkan soal perjumpaan,” katanya.

ANNUAR MUSA

Namun, beliau menyifatkan, rakyat tidak suka apabila pemimpin dilihat tidak habis-habis bercakap tentang jawatan tanpa mengira ketika dan keadaan.

“Memang benar, ia bukan satu kesalahan, tetapi wajarkah soal kedudukan dan jawatan dibangkitkan ketika rakyat sedang bergelut untuk hidup berikutan kenaikan kos dan tekanan inflasi yang perlu diurus dan diberi keutamaan oleh kerajaan?

“Saya percaya pertemuan antara pemimpin sering dan akan sentiasa diadakan. Dalam keadaan sekarang ini, ia akan menjadi sangat afdal jika digunakan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah-masalah rakyat daripada dijadikan medan untuk menekan dan menuntut sesuatu yang tidak dialu-alukan oleh rakyat.

“Dalam politik, bertindak secara berhemah dan penuh kebijaksanaan lebih berkesan dari semata-mata mahu dilihat berani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.