PETALING JAYA: Lima daripada 23 kertas siasatan membabitkan kes penipuan haji furada yang telah dilengkapkan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, kesemua siasatan berkenaan telah dirujuk oleh Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pemalsuan dan Pelaburan Bersindiket, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.
Kata beliau, sehingga 31 Julai lalu sebanyak 132 laporan polis telah diterima melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM5,673,822.22 berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan.
“Sekali gus menunjukkan jumlah laporan polis yang diterima telah meningkat berbanding sebelum ini.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 336 individu telah dikesan menjadi mangsa penipuan haji berkenaan dan siasatan masih dijalankan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, daripada laporan diterima sebanyak 23 kertas siasatan dibuka.
Kata beliau, Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi dengan 52 laporan diikuti Selangor (33 laporan), Pahang (18 laporan), Johor (tujuh laporan), masing-masing enam laporan di Perak, Kelantan.
Di Kedah dan Melaka sebanyak tiga laporan diterima manakala dua di Terengganu dan masing-masing satu di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.3 juta diikuti Pahang (RM1.2juta) dan Selangor (RM966.100).
Di Kelantan pula mencatatkan kerugian RM280,000 diikuti Johor (RM226,000); Perak (RM203,000); Melaka (RM251,000); Terengganu (RM76,000); Kedah (RM48,000); Pulau Pinang (RM32,000) dan Negeri Sembilan (RM16,000).
Utusan Malaysia semalam melaporkan satu kertas siasatan membabitkan kes penipuan haji di Kuala Lumpur akan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan membabitkan kelima-lima suspek yang ditahan sebelum ini telah selesai.
Pada 19 Julai lalu, sebanyak 121 laporan diterima PDRM berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM5.17 juta di seluruh negara.
Pada 8 Julai lalu, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan swasta.
Susulan itu, individu berusia antara 30 hingga 60 tahun yang ditahan Polis Kontinjen Selangor bagi siasatan kes penipuan berkenaan diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit. – UTUSAN