KUANTAN: Tiga remaja dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak dipercayai mempunyai masalah mental dilaporkan melarikan diri dari pusat itu yang terletak di Jalan Kuantan-Pekan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan orang hilang (OH), pada pukul 10.29 pagi.
Katanya, berdasarkan laporan penyelia asrama, mereka yang melarikan diri berusia antara 13 tahun hingga 17 tahun yang kekal menetap di rumah anak yatim tersebut.
“Penyelia yang bekerja sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat di rumah kebajikan itu memaklumkan terdapat penghuni yang melarikan diri daripada pegawai bertugas syif malam kira-kira pukul 4.30 pagi ini.
“Seorang daripada penghuni yang hilang itu, merupakan kanak-kanak berusia 13 tahun yang baru sahaja selesai keluar daripada menerima rawatan psikiatri dari Wad Dahlia Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, Jumaat lalu.
“Terdapat dua lagi remaja turut sama melarikan diri berusia 14 tahun dan 17 tahun yang juga merupakan pesakit yang sama dan masih menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Azahari berkata, penyelia terbabit telah berusaha mencari ketiga-tiga remaja tersebut di kawasan sekitar rumah anak yatim tetapi tidak menjumpai mereka.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga penghuni disedari melarikan diri ketika pertugas ingin mengejutkan mereka di asrama itu bagi persiapan persekolahan.
“Laporan dibuat untuk tindakan mendapatkan semula rawatan bagi ketiga-tiga mereka itu ke wad psikiatri HTAA dan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, katanya, laporan OH terbabit adalah laporan polis bagi kejadian kali kelima yang dibuat pihak pusat jagaan tersebut.
“Mereka pernah beberapa kali melarikan diri dan mencederakan diri sendiri akibat dari tekanan perasaan. Polis telah mendapatkan butiran pegawai penyelia dan pelindung ketiga-tiga penghuni terbabit bagi menghubungi keluarga mereka dan usaha mengesan ketiga-tiga penghuni itu masih lagi diteruskan.
“Susulan laporan itu, polis juga bertindak membuat hebahan selain kes disalurkan kepada Desk Job Team URJ/D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi mengesan ketiga-tiga remaja itu,” katanya. – UTUSAN










