SERDANG: Tidak timbul isu tarik sokongan, malah Perikatan Nasional (PN) masih dalam kerajaan serta kekal menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Itu penjelasan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagi menjelaskan kedudukan sebenar kerajaan sedia ada ketika ini.
Annuar berkata, PN masih dalam kerajaan meskipun tular pelbagai berita dan mesej berkaitan dakwaan PN tarik balik sokongan di media sosial ketika ini.
“Selepas macam-macam berita keluar, kita telah dapat kepastian bahawasanya PN masih lagi dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan ketika ini komited dan fokus bekerja keras dalam membantu Keluarga Malaysia terutama ketika berdepan krisis kenaikan harga barang ketika ini.
Annuar berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan dan setiap individu dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab berat untuk bekerja bersama Perdana Menteri.
“Bila tiba masanya, Perdana Menteri akan umum bubar Parlimen dan ketika itu kuasa memilih kerajaan baharu akan diserahkan kepada rakyat.
“Buat masa ini, Perdana Menteri akan terus fokus dan komited untuk membantu rakyat mengharungi tempoh sukar ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan PN bercadang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu antara Ismail Sabri dan PN yang diketuai Bersatu dibatalkan pada saat akhir.
Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, Parti Islam Malaysia (PAS), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).- UTUSAN










