Tiada bangkit pun isu tuntutan jawatan TPM - Hamzah - Utusan Malaysia

Tiada bangkit pun isu tuntutan jawatan TPM – Hamzah

RADZI Md Jidin bersama Hamzah Zainudin melakukan gimik pelancaran Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di SMK Putrajaya Presint 14. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berhasrat membawa isu tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya diberi peluang bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika ditanya berhubung intipati perjumpaan blok berkenaan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Tidak. Tidak. Perbincangan itu nanti akan lebih menjurus kepada permasalahan isu politik semasa tanah air dan bukan mengenai tuntutan jawatan tersebut,” katanya ketika merasmikan program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin.

Mereka turut melancarkan portal Aduan Buli melibatkan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan dengan pelbagai lagi agensi lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14(1) di sini hari ini.

Isnin lalu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Ismail Sabri menipu kononnya telah bertemu delegasi PN pada awal bulan ini.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui ada menulis surat kepada Ismail Sabri untuk bertemu secara rasmi namun Perdana Menteri memohon agar sesi itu ditunda dan diberikan tarikh baharu.

Ditanya adakah pertemuan berikutnya, blok itu akan tetap memohon jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau menegaskan ia lebih kepada ‘perasaan’ PN terhadap apa berlaku ketika ini.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan lebih terperinci mengenai ‘perasaan’ tersebut dan sama ada PN masih berkeras menuntut sesuatu sebagai sokongan balas kepada Ismail Sabri.

Dalam perkembangan lain, pihaknya menyifatkan lonjakan insiden buli murid sekolah pada ketika ini sebagai trend jenayah moden yang agak membimbangkan.

Beliau berkata, situasi yang berbeza pula dapat dilihat kepada kemerosotan penagihan dadah melibatkan murid sekolah.

“Masalah buli terutamanya di asrama tampak ada peningkatan ketara meskipun kesalahan lain seperti narkotik membabitkan remaja bawah umur berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN