TELUK INTAN: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak tidak terkesan dengan tindakan Pengerusinya, Datuk Hamidah Osman yang mengumumkan keluar parti kelmarin.
Ahli Dewan Tertinggi Putra, Datuk Kamarul Airi Arifin berkata, ini kerana tiada mana-mana pemimpin atau ahli peringkat bahagian parti itu di Perak yang mengikut jejak Hamidah keluar parti.
Menurutnya, walau apa pun mereka menghormati keputusan Hamidah itu dan merakamkan penghargaan terhadap sumbangan bekas Naib Presiden Putra itu.
Menurutnya, di sebalik keputusan Hamidah itu, Putra Perak terus mendapat kepercayaan dan sokongan ahli-ahlinya yang terus menyokong pimpinan Datuk Ibrahim Ali sebagai Presiden.
“Putra Perak tidak terkesan dengan keputusan Hamidah meninggal parti. Ia merupakan keputusan peribadi beliau malah semasa sidang akhbar yang beliau adakan di Ipoh semalam, tidak menggambarkan ramai yang mengikut jejak beliau.
“Tiada pemimpin atau ahli cawangan-cawangan yang menyertai tindakan beliau itu malah tiada pemimpin bahagian yang keluar parti, bermakna Putra Perak mendapat sokongan yang kuat daripada pemimpin dan ahli-ahlinya,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Kamarul Airi mengumumkan Ibrahim bersetuju melantik Ketua Putra Bahagian Teluk Intan, Mohd. Fauzi Zulkifli sebagai Pemangku Pengerusi Putra Perak.
Sidang akhbar itu turut dihadiri beberapa ketua bahagian Putra dan wakil masing-masing antaranya dari bahagian Pasir Salak, Tanjung Malim, Batu Gajah, Tapah, Gerik dan Taiping.
Kamarul Airi berkata, semua ketua bahagian Putra di Perak bersetuju dan sebulat suara menyokong kepemimpinan Ibrahim yang menyertai parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipengerusikan Tun Mahathir Mohamad.
Menurutnya, tanpa Hamidah dan Ketua Putra Bahagian Larut, Ahmad Hasbullah Alias yang juga mengumumkan meninggalkan parti baru-baru ini, pemimpin dan ahli bahagian Putra di negeri ini tetap bergerak seperti biasa.
Katanya, mereka akan turun padang dan bergerak demi memperjuangkan hak orang Melayu.
“Apa yang berlaku ini memberikan hikmah kepada parti agar setiap peringkat cawangan, bahagian dan negeri dapat meneruskan perjuangan yang sehaluan dengan pucuk pimpinan parti yang yang dipimpin Ibrahim,” katanya.
Kelmarin, Hamidah mengumumkan keputusannya keluar Putra demi prinsip dan hilang kepercayaan terhadap Presiden dan kepemimpinan Putra yang bekerjasama dengan Mahathir dalam GTA.
Gagasan baharu GTA disertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Putra dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). – UTUSAN