PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu membuktikan kewibawaan dan daya tarikan kepada pengundi yang beliau adalah calon pemimpin masa depan untuk Selangor.
Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, Tengku Zafrul juga perlu buktikan beliau adalah seorang berjiwa besar dan bukan ingin memenangkan diri sendiri di kawasan bertanding, tetapi membantu menawan kembali Selangor.
“Gerak kerja yang kita lakukan adalah Tengku Zafrul ke arah menjadi calon, tetapi bergantung kepada usaha beliau sendiri untuk memastikan dia menerima watikah.
“Kalau beliau tidak dapat sokongan dan penerimaan dari kawasan bertanding mungkin saat akhir akan berlaku perubahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu katanya, Menteri Kewangan itu berkemungkinan besar bakal bertanding di kawasan Kuala Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) susulan pelantikannya sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) negeri ini kelmarin.
Menurutnya, Tengku Zafrul juga semakin kerap turun ke kawasan tersebut dan berpindah keahlian parti itu dari UMNO Bahagian Lembah Pantai ke UMNO Bahagian Kuala Selangor.
Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan sama ada calon dan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah kuasa mutlak Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukannya.
“Kemungkinan besar (Tengku Zafrul) akan bertanding di Kuala Selangor, tetapi sama ada DUN atau Parlimen, saya tak berani katakan kerana mungkin terlalu awal, tetapi gambarannya ke arah kawasan itu,” katanya.
Pada 18 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan kesediaan Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul selepas menyandangnya sejak 2019.
Mengulas lanjut, Jamal berkata, beliau menyokong Tengku Zafrul untuk bersama-sama di Selangor sebelum ini disebabkan Menteri Kewangan itu seorang yang profesional dan tidak terbawa-bawa mengikut agenda mana-mana parti.- UTUSAN










