Tarik sokongan terhadap PM hanya cakap-cakap sahaja - Idris

Tarik sokongan terhadap PM hanya cakap-cakap sahaja – Idris

IDRIS Ahmad berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas negeri Perak di Bukit Merah Laketown Resort dekat Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas tiada maklumat  berkaitan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, tiada sebarang makluman rasmi berkaitan perkara itu dimaklumkan kepada Pas.

“Setakat hari ini tiada sebarang maklumat tentang perkara itu, sama ada secara rasmi atau pun dibincangkan di peringkat majlis tertinggi di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Sekadar dengar cakap-cakap orang dari mulut ke mulut itu ada, namun cakap-cakap seperti itu tidak boleh dijadikan sebagai satu asas yang boleh dianggap betul atau telah rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Perak di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.

Menurutnya, malah tiada mana-mana rakan komponen PN yang mengemukakan usul itu dalam mana-mana mesyuarat apatah lagi membincangkannya.

“Pas sememangnya tidak ada maklumat secara rasmi  tentang desas desus yang menyatakan terdapatnya individu dalam kalangan pemimpin Bersatu cuba menarik sokongan terhadap kerajaan yang berdiri pada hari ini.

“Di peringkat Pas Pusat juga kita tidak mendengar sebarang berita tentang isu yang sedang hangat diperkatakan itu,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, Pas tetap dengan pendirian mahu PN dan UMNO-Barisan Nasional (BN) bergabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15.

“Pas masih berusaha agar UMNO-BN dapat bergabung dengan PN, ini bertujuan agar apa yang telah terjadi pada PRU-14 tidak berulang, juga agar kita dapat meraih kemenangan dengan majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan selepas PRU15,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pemimpinan Bersatu  dikatakan akan menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri.

Ini kerana Bersatu dikatakan kecewa dan hilang sabar apabila Perdana Menteri dilapor membatalkan pertemuan dengan pemimpin PN dipercayai bagi membincangkan isu pelantikan wakil Bersaru ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, yang didakwa dipersetujui Ismail Sabri sebelum mengambil alih pentadbiran negara daripada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN