STAR terbuka soal kerusi, tidak tolak kemungkinan bertembung - Utusan Malaysia

STAR terbuka soal kerusi, tidak tolak kemungkinan bertembung

JEFFREY Kitingan (dua kanan) menerima borang keahlian daripada wakil ahli baharu yang menyertai STAR di Papar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bersifat terbuka soal pembahagian kerusi namun, tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertembungan dengan rakan sekutu di peringkat negeri.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, beliau mengambil pendekatan untuk melihat senario politik di Semenanjung Malaysia yang kini dilihat tidak stabil.

Pada masa ini, kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) semakin rapuh di peringkat persekutuan.

Sekiranya situasi di Semenanjung berlaku pertembungan maka, di Sabah juga akan berlaku pertembungan dengan rakan sekutu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi PN itu berkata, jika boleh STAR ingin bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah namun, mengambil kira kedudukan parti itu berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) maka, perbincangan masih perlu dilakukan.

GRS dianggotai oleh lima parti termasuk STAR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

“Kalau boleh kita mahu bertanding semua kerusi tapi sudah tentu, kita berada dalam gabungan jadi kita kena bahagi-bahagi (kerusi). 

“Berapa banyak kerusi kita dapat, kita akan pastikan kerusi itu menang,” katanya semasa majlis menerima kemasukan ahli baharu STAR bahagian Papar semalam.

Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau itu berkata, parti itu terbuka kepada sebarang pilihan yang ada dari segi pembahagian kerusi.

Sekiranya sebelum ini UMNO menyatakan ingin bertanding 14 kerusi namun, apa yang beliau dengar adalah sebaliknya.

Terdahulu dalam majlis itu, 1,000 orang ahli baharu termasuk bekas ahli-ahli parti pembangkang menyertai STAR bahagian Papar.

Mengulas tentang ketua bahagian yang bertindak meninggalkan parti itu, Jeffrey berkata, berkemungkinan mereka ingin menjadi calon pada PRU-15.

Beliau tidak menolak kemungkinan ketua bahagian yang keluar itu ditawarkan menjadi calon. Namun, itu pilihannya kerana ini negara demokrasi.

Jelas beliau, tindakan sebegitu tidak akan menjejaskan kedudukan STAR. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN