JPJ kesan syarikat bas ekspres guna bas persiaran tanpa LPS

JPJ kesan syarikat bas ekspres guna bas persiaran tanpa LPS

ANGGOTA Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang melakukan pemeriksaan bas ekspress di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di Kuantan, Pahang sempena Op Tahun Baru Cina 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan sebuah sya­rikat bas ekspres mengguna­kan bas persiaran sebagai ken­de­raan ganti tanpa memiliki Le­sen Perubahan Sementara (LPS) yang sah dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dalam pemeriksaan di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini, malam kelmarin.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, bas berkenaan dijadualkan membawa pe­numpang dari TSK ke Kota Bharu, Kelantan selepas bas asal didakwa mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, pemeriksa­an mendapati bas ganti tersebut adalah bas persiaran dan tidak mempunyai LPS yang sah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi membolehkannya beroperasi sebagai bas ekspres.

“Anggota JPJ Pahang tidak membenarkan bas tersebut meneruskan perjalanan dengan membawa penumpang sehingga pihak syarikat menyediakan bas ekspres lain yang sah bagi mengelakkan sebarang permasalahan,” katanya selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2026 di TSK Kuantan, di sini.

Beliau berkata, LPS adalah kebenaran sementara yang di­keluarkan APAD untuk membenarkan sesuatu kenderaan digunakan bagi tujuan berbeza daripada lesen asalnya dalam tempoh tertentu.

“Setiap kenderaan perdagangan mempunyai jenis permit, syarat operasi, perlindungan insurans serta had laluan berbeza, Penggunaan bas persiaran sebagai bas ekspres tanpa LPS sah adalah melanggar syarat permit serta boleh dikenakan tindakan.

“Dalam kejadian itu, bas ekspres yang sepatutnya bertolak pada pukul 8 malam hanya dapat bergerak kira-kira pukul 9.30 malam selepas syarikat ber­kenaan menyediakan bas ekspres lain sebagai pengganti,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan dalam operasi yang memberi tumpuan kepada pematuhan undang-undang dan peningkatan tahap keselamatan jalan raya di negeri ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN