Spa sekolah tawar khidmat RM1

Spa sekolah tawar khidmat RM1

SUASANA di dalam spa SK Jejawi yang selesa dan tenang menarik minat murid-murid untuk mendapatkan perkhidmatan. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi di sini menubuhkan spa dan terapi dengan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada warga sekolah berkenaan sebagai antara usaha menjaga aspek kebersihan serta penampilan dalam kalangan murid.

Spa yang mula beroperasi sejak tahun lalu itu menawarkan bayaran serendah RM1 hingga RM3 bagi beberapa perkhidmatan yang disediakan.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah gunting dan cuci rambut, rendaman kaki serta servis memotong kuku selain perkhidmatan sauna untuk para guru.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Guru Besar SK Jejawi, Zairi Bakar berkata, harga yang ditetapkan sangat berpatutan iaitu gunting dan cuci rambut RM3, rendaman kaki RM2 dan potong kuku pula hanya RM1.

“Inisiatif menyediakan perkhidmatan ini adalah hasil perbincangan bersama guru-guru yang sebelum ini cuba mengatasi isu kebersihan murid. Bilik spa berkenaan yang pada asalnya sebuah stor turut diubah suai bagi memberikeselesaan kepada murid mendapatkan perkhidmatan di situ,” katanya.

Menurut Zairi, para guru mengambil inisiatif sendiri membeli barangkeperluan yang dikehendaki dan melakukan pengubahsuaian di bilik berkenaan.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Jejawi, Isma Noorafeedza Ishak berkata, spa itu diuruskan sepenuhnya oleh Pembimbing Rakan Sebaya (PBS) dan Puteri Islam bersama penglibatan lima guru.

Bagi perkhidmatan gunting rambut, Isma berkata, para guru, jawatan kuasa ibu bapa dan pihak komuniti turut memainkan peranan membantu operasi spa berkenaan.

“Spa ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Khamis yang mana sesi pertama adalah pdari pukul 10 hingga 11 pagi manakala sesi kedua pula pukul 1 hingga 3 petang.

“Spa ini juga hanya menerima empat hingga ke lima murid dalam satu-satu masa dan mereka dibantu oleh murid PBS atau Puteri Islam yang menyediakan peralatan diperlukan,” katanya.

Sementara itu, seorang murid sekolah berkenaan,Ilham Saffiya Imaduddin Helmi,12, berkata, dia sebelum ini pernah beberapa kali berkunjung ke spa tersebut bagi mendapatkan perkhidmatan rendaman kaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN