Iran minta Iraq tutup ruang udara elak Israel lancar serangan - Utusan Malaysia

Iran minta Iraq tutup ruang udara elak Israel lancar serangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menggesa Iraq tindakan segera bagi menghalang Israel daripada menggunakan ruang udara dan wilayahnya sebagai laluan untuk melancarkan serangan ke Teheran.

Agensi Anadolu melaporkan, dalam satu panggilan telefon kepada Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani pada Ahad, Pezeshkian berkata kerajaan Iraq perlu mempertingkat kawalan terhadap sempadan dan ruang udaranya agar tidak dimanipulasi oleh pihak musuh untuk menyerang Iran.

“Kerajaan Iraq mesti lebih berwaspada dan melindungi kedaulatan wilayahnya agar tidak disalahgunakan bagi tujuan ketenteraan terhadap (Republik Islam) Iran,” ujarnya menurut laporan Agensi Berita Iran (IRNA).

Gesaan itu hadir susulan laporan rasmi pada Sabtu lalu yang memetik kenyataan sumber Baghdad telah mengemukakan permintaan kepada Amerika Syarikat agar menyekat pesawat-pesawat tentera Israel daripada menggunakan ruang udara Iraq.

“Iraq telah meminta Amerika Syarikat memainkan peranannya dengan menghalang pesawat Israel daripada melanggar ruang udara Iraq selaras dengan Perjanjian Kerangka Strategik (Strategic Framework Agreement),” menurut laporan Agensi Berita Iraq (INA).

Sumber berkenaan turut menegaskan kepentingan untuk menghormati kedaulatan Iraq dan keselamatan ruang udaranya, selain menyatakan Amerika Syarikat selaku ketua gabungan antarabangsa dalam memerangi Daesh (ISIS) bertanggungjawab memastikan tiada sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan dan integriti Iraq.

Pada Jumaat lalu, rejim Israel telah melancarkan siri serangan ketenteraan ke atas wilayah Iran dengan menyasarkan beberapa kemudahan nuklear dan peluru berpandu.

Serangan tersebut mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis Iran, sekali gus mencetuskan ketegangan baharu di rantau Asia Barat.

Setakat ini, menurut wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan berkenaan telah meragut sekurang-kurangnya 78 nyawa dan mencederakan lebih 320 orang. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×