KUALA LUMPUR : Setelah berbulan terlantar di hospital dan merahsiakan apa yang dirasai setahun lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan dirinya sebagai ‘mati hidup kembali’ apabila pulih sepenuhnya daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat.
Menceritakan pengalaman beliau, pakar memberitahu yang keadaannya ketika itu sukar untuk diselamatkan dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk bertahan.
“Saya rahsiakan dari semua orang, isteri sendiri pun tidak tahu. Saya cuma cakap saya sakit biasa-biasa sahaja. Tetapi sebenarnya, penyakit kanser paru-paru yang saya alami, telah disahkan oleh sembilan pakar Perubatan Kanser dari dalam dan luar negara sebagai kritikal dan tiada rawatan yang boleh menyembuhkannya berdasarkan kondisi tubuh saya ketika itu.
“Selama berbulan-bulan saya terlantar di katil dan keluar-masuk hospital, saya tidak pernah terlintas satu harapan pun bahawa saya boleh kembali untuk berdiri dan bersama kawan-kawan semula. Saya pun sudah tidak terfikir untuk dapat bergelak ketawa bersama rakan-rakan karib yang setia bersama ketika waktu susah dan senang saya.
“Semua pakar kanser telah bersepakat bahawa saya hanya mempunyai hayat kira-kira 100 hari sahaja lagi iaitu sehingga Disember 2021,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Namun, dalam keadaan yang beliau mula redha dengan sebarang kemungkinan, Jamal mula mengubah cara kehidupan dan ia membuahkan hasil.
“Saya sekali lagi menjalankan pemeriksaan untuk mengesan sel kanser pada paru-paru saya. Suatu keajaiban telah berlaku pada Disember 2021. Semua pakar perubatan sangat terkejut malahan saya sendiri tidak menyangka apabila dinyatakan bahawa sel kanser tersebut telah hilang. Alhamdulillah.
“Kini, selepas hampir 8 bulan berlalu, saya telah disahkan pulih sepenuhnya, iaitu 100 peratus bebas daripada kanser dan saya boleh menjalani kidupan seperti biasa tanpa sebarang risiko.
“Doktor-doktor pakar yang merawatasaya mengatakan kepada saya bahawa saya telah Allah pilih untuk mejadi ‘satu dari dalam sejuta penghidap kanser tersebut”, ” jelasnya.
Ditanya mengenai apakah cara yang diamalkan, Jamal berkata beliau hanya meningkatkan ibadah serta bersangka baik dengan orang sekeliling.
Maka sebab itu, Jamal berkata, beliau kali ini terpanggil untuk memberi semangat kepada masyarakat di luar dengan menceritakan apa yang dirasai sebelum ini.- UTUSAN