Semua parti dalam mood PRU15 - Utusan Malaysia

Semua parti dalam mood PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua parti politik di negara ini dilihat dalam mood Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutamanya selepas memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang berakhir 31 Julai lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengesahkan lima kepimpinan tertinggi parti itu sudah mengadakan perbincangan berkaitan PRU15 baru-baru ini.

Tanpa mendedahkan butiran perbincangan itu, beliau berkata: “Secara umum bincang PRU15.”

Lima pemimpin tertinggi UMNO itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled yang mengadakan pertemuan pada 27 Julai lalu.

Ismail Sabri yang menghadiri Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor Ahad lalu juga memberi bayangan PRU15 semakin hampir.

PRU15 terus menjadi spekulasi apabila beberapa pimpinan utama parti lain turut sibuk turun padang.

Mesyuarat PN

Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung minggu lalu juga dilapor membincangkan persiapan penting gabungan itu dalam menghadapi pilihanraya, malah giat melancarkan PN di beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga menyifatkan, jentera PH bersedia menghadapi PRU15 sekiranya Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa, namun akan terus mendesak kerajaan memberikan keutamaan dalam beberapa isu lain.

Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Jun lalu pula menyatakan yakin barisan itu sudah bersedia di pelbagai peringkat termasuk kepimpinan serta akar umbi BN seluruh negara terutamanya dalam menampilkan muka dan calon baharu nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhamad Rafii pula berpendapat, isu berkaitan pilihan raya tidak sepatutnya timbul dengan kebanyakan ucapan Perdana Menteri memberi bayangan PRU dilaksanakan sebelum pemilihan parti.

Sehubungan itu, katanya, melihat kepada keadaan negara, kawalan Covid-19 dan ekonomi sudah mulai pulih, maka masanya untuk pilihan raya dilaksanakan secepat mungkin.

“Kita kena serahkan mandat kepada rakyat sebab kita tahu dalam tempoh hampir lima tahun ini, ada banyak kerajaan pintu belakang, jadi perlu mandat baharu,” ujarnya.

Dibubarkan

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, negara kini memasuki tahun terakhir iaitu tahun kelima sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15.

“Maksimum tempoh penggal Parlimen akan tamat pada Julai depan dan mungkin ada tambahan dua bulan lagi jika pembubaran Parlimen dilakukan pada Julai depan.

“Jadi tempoh keseluruhannya yang ada kurang daripada setahun, mahu atau tidak pilihan raya sudah semakin hampir. Pas kini sedang menyiapkan jentera untuk PRU dari semua sudut berkaitan pilihan raya,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Hasbie Muda pula menjangkakan PRU15 dilaksanakan seawal tahun depan kerana Ismail Sabri dilihat tidak mempunyai sebarang tekanan dalam meneruskan tugas beliau sehingga awal tahun depan.

“Kita bersedia untuk pilihanraya seawal hujung tahun, cuma dari segi terakhir nampak macam kemungkinan tahun depan.

“Sebab biasanya (PRU) dilaksanakan selepas pembentangan bajet selesai, jadi kalau (Parlimen) dibubarkan (sebelum pembentangan bajet), maka kerajaan tak sempat untuk luluskan bajet.

“Malah, dari segi tekanan daripada pasukan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agak perlahan akhir ini, jadi nampak mungkin Perdana Menteri akan anjak tahun depan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN