PETALING JAYA: Sindiket scammer semakin menjejaskan negara apabila setiap hari bertambah ramai terpedaya dengan drama ugutan, rayuan dan desakan penjenayah siber.
Menyamar sebagai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pegawai mahkamah, modus operandi popular sindiket itu.
Semakin membimbangkan apabila scammer terlalu mudah mendapat nombor telefon atau identiti mangsa tanpa mengira siapa individu tersebut untuk menyamar sebagai kenalan atau ahli keluarga yang terdesak memerlukan duit segera.
Menerusi siasatan Utusan Malaysia yang menjejaki talian scammer, individu terbabit menggunakan pendekatan menyamar menggunakan nombor telefon kenalan rapat dengan menghantar mesej bagi meminta bantuan wang kerana mendakwa dalam kecemasan.
Mesej menerusi Telegram tidak mendesak tetapi berharap. Permintaan wang sehingga RM2,000 dengan memberikan jaminan wang tersebut akan dipulangkan esok pagi.
“Ada masalah keluarga yang mendesak sangat, tak perlu risau esok pagi saya bank in semula (dalam) pukul 8 lebih,” katanya.
Nombor akaun
Namun, apabila diminta nombor akaun bank, ia menghairankan kerana nama dalam akaun tersebut atas orang lain.
Selepas dipersoalkan, scammer berdalih mengatakan ia milik ahli keluarganya dan kononnya lebih memudahkan kerana yang memerlukan wang adalah ahli keluarganya.
“Itu nombor akaun keluarga, tadi saya nak pindahkan wang tetapi saya ada masalah tak boleh buat transaksi,” katanya.
Modus operandi scammer mencapai kemuncak apabila individu itu tidak mahu berjumpa meskipun diajak berkali-kali.
Malah scammer tegas agar bantuan disampaikan menerusi transaksi perbankan.
Selain menggunakan nombor telefon rakan, antara taktik lain scammer ialah menyamar sebagai pihak berkuasa seperti panggilan daripada ejen KWSP, LHDN dan mahkamah.
Pengalaman seorang mangsa scammer menyamar dari ‘Mahkamah Seremban’ kononnya mangsa terlibat kes pengubahan wang haram.
Pemanggil
Mangsa yang sedar pemanggil itu scammer terus mendengar penjelasan pemanggil. Pemanggil mulanya memaklumkan tarikh kes sebutan di mahkamah dan kemudian menawarkan mangsa bercakap dengan pegawai polis.
Dalam kes tersebut, perbualan antara scammer dan mangsa berakhir apabila mangsa mempersoalkan bagaimana mahkamah di Negeri Sembilan boleh beroperasi hujung minggu?
Mendengar pertanyaan mangsa, scammer dengan selamba memaklumkan ‘jika sudah tahu (panggilan ini scammer) kenapa melayan’.
Respons scammer itu memberi gambaran bahawa jenayah siber seperti itu terlalu biasa namun scammer terus mencuba nasib mencari mangsa.
Beberapa percubaan Utusan Malaysia menghubungi nombor telefon seperti 013-8599648, 014-9293015, 017-2267981 yang dipercayai scammer yang dikongsikan di media sosial juga gagal apabila mereka menyifatkan salah nombor.
Ia sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa scammer mampu memalsukan ID pemanggil sebelum berpura-pura membuat panggilan daripada nombor tersebut, tetapi mereka sebenarnya membuat panggilan daripada nombor lain untuk tujuan scam,” katanya.- UTUSAN










