PUTRAJAYA: Selepas menahan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat, hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kuota pekerja asing.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 30an dan 50an itu masing-masing ahli perniagaan dan pemilik syarikat agensi pekerjaan ditahan pada pukul 10 dan 12 malam di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Sumber berkata, ahli perniagaan tersebut disiasat berhubung penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM1 juta daripada ejen pekerjaan, manakala seorang lagi lelaki tersebut disyaki membayar rasuah kepada syarikat penyedia platform bagi permohonan pekerja asing.
Majistret Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua lelaki itu direman tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Ogos selepas pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Semalam, SPRM menahan lapan individu dengan enam daripadanya direman tiga hari, manakala dua lagi masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.
Kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.- UTUSAN