PRU15: PKR Johor sasar 8 kerusi

PRU15: PKR Johor sasar 8 kerusi

JIMMY PUAH WEE TSE (kiri) dan Napsiah Khamis (kanan) menyerah gegantung perniagaan kepada usahawan di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor bukan sahaja bertekad untuk mengekalkan tujuh kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), malah turut berusaha untuk menambah satu lagi kerusi pada PRU15.

Bekas Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perkara itu perlu dibincangkan kerana pihaknya menjangka PRU15 bakal diadakan dalam tempoh kurang 100 hari lagi.

Tujuh kerusi Parlimen yang dimenangi PKR pada PRU14 ialah Segamat, Batu Pahat, Tebrau, Johor Bahru, Pasir Gudang, Sekijang dan Ledang serta mengintai kerusi Simpang Renggam.

“PKR Johor menyasarkan untuk mempertahankan tujuh kerusi Parlimen yang dimenangi dalam PRU lalu, khususnya tiga kerusi iaitu Tebrau, Segamat dan Batu Pahat. Tiga kerusi ini adalah untuk menebus maruah.

“Kami katakan begitu kerana tiga kerusi berkenaan dimenangi wakil rakyat PKR, namun mereka bertindak melompat parti. Jadi, kami mahu tebus semula maruah dan kepercayaan rakyat terhadap kami,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri program penyerahan gegantung perniagaan kepada empat usahawan kecil dan sederhana di Felda Ulu Tebrau, di sini hari ini yang turut dihadiri bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan.

Wee Tse menjangkakan PRU15 akan diadakan pada tahun ini berdasarkan beberapa faktor melibatkan parti-parti politik yang membentuk kerajaan, khususnya UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kami tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan dalam tempoh 100 hari lagi. Kiraan ini dibuat dengan menolak kemungkinan ia diadakan dalam bulan Disember ekoran musim hujan yang kerap berlaku dalam bulan berkenaan.

“Jadi, adalah penting untuk kita mengatur gerak kerja jentera di peringkat akar umbi, siapa calon kerusi mana tidak timbul, sebaliknya semua cabang perlu mempersiapkan kawasan masing-masing,” ujarnya

Mengulas pelantikan Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli sebagai Pengerusi PKR Johor yang baharu, beliau melihat perkara itu dari sudut pandang positif dan yakin bakal memberi suntikan semangat kepada jentera negeri menjelang PRU15.

“Buat pertama kali PKR Johor akan diketuai seorang pemimpin tertinggi dari peringkat pusat, ini sebagai tanda bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri melihat Johor sebagai negeri berkepentingan,” katanya sambil yakin Mohd. Rafizi mampu mengemudi PKR di negeri ini.

Sementara itu, kerajaan diminta mengkaji dan meminda perlembagaan bagi membolehkan anak yang dilahirkan oleh ibu seorang warganegara di luar negara mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Jimmy Puah Wee Tse berkata, langkah itu bagi mengelak berlakunya diskriminasi terhadap wanita selain memastikan mereka turut mendapat hak dan status sama rata seperti lelaki.

Beliau kesal dengan perkembangan terbaharu berkaitan perkara itu yang dilihatnya sebagai satu langkah kebelakang dalam hak asasi manusia.

“Saya kesal dan menganggap ini sebagai diskriminasi terhadap wanita. Bagi saya tidak kira wanita itu berkahwin dengan dengan lelaki asing atau tidak, anak dia wajar mendapatkan kerakyatan Malaysia.

“Pada zaman dan dekad sekarang kalau masih ada diskriminasi seperti ini adalah tidak munasabah. Kita sekarang kena maju dalam hak wanita dan bukan mundur balik.

“Saya menghormati keputusan mahkamah sebelum ini, namun saya harap dalam masa sama kerajaan dapat kaji dan pinda semula perlembagaan, sama seperti yang dibuat melibatkan Akta Anti Lompat Parti baru-baru ini,” katanya selepas menyerahkan gegantung perniagaan kepada empat usahawan kecil dan sederhana di Felda Ulu Tebrau, di sini hari ini yang turut dihadiri bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 baru-baru ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia daripada segi undang-undang.

Wee Tse berkata, wanita di negara ini sudah berdepan banyak cabaran dalam pelbagai sektor dan perkara seperti itu akan menambah lagi cabaran yang perlu dihadapi mereka.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN