PETALING JAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) sedia menawarkan calon-calon wanita yang berprinsip untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Wanita GTA, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, pihaknya akan memartabatkan kedudukan wanita dalam parti politik.
“Wanita tidak sekadar digunakan untuk menjadi peraih undi dan tukang sorak atau pembawa sepanduk semata-mata dalam menyokong pemimpin korup melakukan kesalahan jenayah tanpa segan dan malu secara buta tuli seperti yang berlaku pada hari ini.
“Wanita GTA berperanan bersuara memastikan terdapat semak dan imbang dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pimpinan parti dengan mengutarakan sudut pandang wanita dalam setiap keputusan. Perkara ini sering dipinggirkan dalam kebanyakan parti-parti politik,” katanya dalam kenyataan
Beliau menyatakan demikian selepas mesyuarat Wanita GTA hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Wanita GTA iaitu Noor Asikin Yusof (Ketua Wiranita Putra Malaysia), Siti Umi Kalsom Hussin (Ketua Wanita BERJASA) dan Fauzia Sultan yang juga Ketua Wiranita IMAN.
Wanita GTA juga merasa kesal dengan tindakan UMNO yang mengganggu gugat kewibawaan sistem kehakiman negara ketika ini, malah sayap Wanita UMNO juga turut bersekongkol dari kepimpinan sampai ke akar umbi.
“Langsung tidak mempunyai perasaan bersalah memporak perandakan sistem urus tadbir negara dan lebih mementingkan pemimpin yang telah terbukti korup.
“Di atas kesedaran ke atas kerosakan yang sedang berlaku, Wanita GTA bersedia menawarkan kepada rakyat Malaysia calon-calon wanita yang berprinsip, bebas dari rekod salah guna kuasa dan rasuah, serta berkelayakan dan berpengalaman dalam menguruskan negara dalam PRU15 akan datang.
“Dengan kewibawaan yang ada, Wanita GTA yakin akan menjadi pilihan terbaik kepada rakyat Malaysia, orang Melayu khususnya dalam PRU15 yang akan datang,” katanya.- UTUSAN