Projek rumah mampu milik RUMAWIP diperhalusi - Tengku Adnan

Projek rumah mampu milik RUMAWIP diperhalusi – Tengku Adnan

TENGKU Adnan Tengku Mansor (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Putrajaya sempena Program Merdeka@Komuniti di Myfarm Outlet, Presint 7, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Projek perumahan mampu milik, Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Presint 7 di sini, yang diluluskan untuk pembinaan pada 2019 akan diperhalusi semula untuk dibangunkan. 

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau kini sedang berbincang dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi membangunkan semula projek berkenaan. 

“Saya paling sedih kerana projek perumahan ini telah dibatalkan ketika era Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan. 

“Ketika saya bergelar Menteri Wilayah Persekutuan, projek ini sudah pun mendapat kelulusan dan sudah dirasmikan malah, menunggu masa dibangunkan. 

“Mengikut perancangan, 500 unit kediaman dengan keluasan 800 kaki persegi akan dibangunkan menerusi projek ini dengan harga RM80,000 seunit,” katanya ketika ditemui pada program bersama peniaga Myfarm Outlet di sini, hari ini. 

Projek pertama RUMAWIP@Sentral di Presint 7 disasarkan kepada penjawat awam kumpulan sokongan dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah. 

Tengku Adnan yang juga Bendahari UMNO berkata, mengikut perancangan juga, MyFarm Outlet di Presint 7 di sini sepatutnya dibangunkan sebagai sebuah pasaraya namun, ia juga tidak menjadi kenyataan. 

“Satu lagi projek perumahan yang dipersetujui bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa dahulu turut dicadangkan di Presint 15 namun, turut dicantas oleh PH,” katanya. 

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut melabelkan kerajaan PH sebelum ini sebagai ‘kencing hancing’ kerana gagal mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah yang terbaik kerana memahami kesusahan rakyat serta dapat   mengawal inflasi dan menurunkan harga barangan ketika rakyat berhadapan kesukaran ketika ini,” katanya. 

Sementara itu, ditanya perancangannya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Tengku Adnan berkata, beliau menjangkakan kerusi Parlimen yang disandangnya sejak empat penggal lalu akan cuba direbut empat parti lain. 

“Saya dengar empat parti akan bertanding melawan saya di sini iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Amanah Negara (Amanah). 

“Saya akan bertanding dan pertahankan kawasan saya. Kita balun dan lawan semua parti itu,” katanya. 

Pada PRU14 lalu, Tengku Adnan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya selepas menang dengan majoriti 3,372 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN