PETALING JAYA: Polis membuka siasatan berhubung kebocoran dokumen draf didakwa keputusan perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.
Ia merujuk laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan dibuat susulan adanya laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Katanya, petang semalam, polis menerima aduan daripada Pegawai Undang-undang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Ketua Unit Penyelidikan) berhubung insiden pembocoran dokumen penghakiman perbicaraan tersebut melalui sebuah portal berita.
“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 11.29 pagi semalam apabila pengadu berada di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur telah dimaklumkan berlaku kebocoran dokumen dalaman sulit yang merupakan dokumen draf awal disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Dokumen tersebut adalah dokumen penyelidikan mengenai kes yang masih dalam perbicaraan dan merupakan pandangan oleh Unit Penyelidikan sebagai rujukan kepada hakim.
“Menurut pengadu dokumen tersebut akan dipinda berdasarkan kajian serta bacaan dan ia bukan satu keputusan penghakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 ( kerana kesalahan membocorkan maklumat), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mendedahkan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).
Terdahulu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat laporan polis berhubung laporan sebuah portal berita berkaitan dokumen didakwa keputusan perbicaraan membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang tular dalam media sosial.
Keputusan berhubung kes terbabit dijadual dibacakan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 September ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, pejabat berkenaan menegaskan, perbuatan itu sebagai tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian mahkamah dan pentadbiran keadilan. – UTUSAN










