SEPANG: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini melupuskan barang kes membabitkan rokok, minuman keras dan mesin melombong bitcoin bernilai lebih RM1.11 juta yang dirampas bagi tempoh 2018 hingga 2021.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pelupusan itu membabitkan tujuh kes masing-masing satu kes rokok seludup, lima kes minuman keras dan satu kes mesin bitcoin.
Beliau berkata, pelupusan itu membabitkan 10,106 tin dan 577 botol minuman keras bernilai keseluruhan RM86,621 selain 15,200 karton rokok bernilai RM972,800 dan lima mesin bitcoin bernilai RM52,000.
“Tujuh kes rampasan itu membabitkan tangkapan tujuh warga tempatan dan empat warganegara asing berusia antara 21 hingga 48 tahun masing-masing di Bandar Baru Salak Tinggi, Dengkil, Sungai Pelek dan Putra Perdana.
“Kesemua kes ini telah mendapat keputusan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor dan arahan pelupusan juga diperolehi dari Majistret Mahkamah Sepang, Ayuni Izzati Sulaiman mengikut Seksyen 406 A Kanun Prosedur Jenayah.
“Pelupusan dilakukan oleh syarikat yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Majlis pelupusan disempurnakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner, Baharudin Mat Taib di Padang Kawad iPD Sepang pagi tadi.
Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya juga akan melelong 60 kenderaan membabitkan kereta dan motosikal yang dirampas dan disita atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, kenderaan yang akan dilelong itu kebanyakannya membabitkan rampasan kes jenayah, kenderaan tersadai di tepi jalan, pemilik sudah meninggal dunia dan pemilik yang dipenjarakan.
“Kesemua kenderaan itu akan dilelong dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN