PETALING JAYA: Polis mengesan seorang lelaki yang dilihat menggunting Jalur Gemilang yang dipasang tepi jalan berhampiran Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), dekat sini selepas perbuatannya tular dalam media sosial, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis setakat ini belum menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Tiada laporan setakat ini. Tindakan mengesan individu yang melakukan perkara itu sedang dijalankan,” katanya.
Semalam tular rakaman video berdurasi 38 saat yang dimuat naik di TikTok menunjukkan lelaki berbaju merah dan memakai topi itu memegang gunting dan merosakkan beberapa kain bendera.
Difahamkan, ada pengguna jalan raya yang melihat kejadian menegur perbuatannya namun dimarahi. – UTUSAN










