Polis jumpa Methamphetamine RM1.38 juta dalam Honda City

Polis jumpa dadah methamphetamine RM1.38 juta dalam Honda City

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tindakan dua lelaki memandu kereta Honda City  dalam keadaan mencurigakan berjaya membongkar penemuan dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1.38 juta.

Penemuan dadah seberat 38.1 kilogram (kg) itu ditemukan dalam pemeriksaan rambang ke atas dua kenderaan di perkarangan kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 tengah hari itu, anggotanya yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan itu melihat sebuah Honda City dan Toyota Vellfire dalam keadaan mencurigakan pada 1.20 tengah hari.

Pemeriksaan mendapati dua lelaki berada dalam Honda City, manakala Toyota Vellfire dipandu lelaki dan terdapat dua penumpang wanita.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan lanjut menemukan empat kotak berisi peket kecil dadah jenis methamphetamine dalam but belakang Honda City seberat 38.1 kg.

“Kesemua dadah bernilai RM1.38 juta itu dirampas bersama 1.7 gram methamphetamine yang ditemukan dalam milikan salah seorang suspek.

“Hasil soal siasat mendapati dadah itu dipercayai dibawa dari Pantai Timur dan ia dalam proses untuk diserahkan kepada ahli sindiket yang berperanan sebagai penerima dadah untuk dibawa ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Noor Dellhan, berikutan itu, polis kemudiannya berjaya menahan lelaki terbabit di Jalan Chendana, di sini pada pukul 6.15 petang, hari sama.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun dan mereka dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah dan hasil ujian saringan air kencing pula mendapati tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya.

Menerusi tangkapan itu juga, katanya, polis menyita wang tunai berjumlah RM1,900 serta dua kenderaan yang digunakan.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Ogos depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN