SHAH ALAM: PKR akan membuat tapisan pertama calon-calon bagi setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memperoleh senarai pendek seawal hujung September ini selepas sesi rundingan bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, senarai pendek itu akan diketahui seiring dengan kesiapsagaan jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita akan selesaikan soal rundingan kerusi di peringkat PH dalam tempoh sebulan daripada sekarang dan kita akan selesaikan insya-Allah sekurang-kurangnya senarai pendek pertama calon-calon untuk setiap kawasan.
“Kalau saudara saudari tengok sejak kongres lagi, gerak kerja kita tersusun. Kita tumpukan di peringkat Pusat dan nasional sehingga pada hari ini. Bertitik tolak daripada hari ini, untuk satu bulan akan datang, kita akan selesaikan peringkat kerja di peringkat negeri dan cabang,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, di sini hari ini.
Kira-kira 4,000 pemimpin dan anggota PKR hadir pada konvensyen tersebut menyaksikan lima orang berbahas bagi memberikan intipati kepada hala tuju strategi parti untuk menghadapi PRU15.
Justeru, Rafizi mengingatkan mereka yang tidak tercalon untuk bertanding dalam pilihan raya nanti supaya mengekalkan prinsip bersama parti dan tidak mengkhianati jentera.
“Sebab itu di ambang PRU15, kita perlu tetapkan niat kita, kita masuk bukan sebab jawatan. Sebab itu awal-awal saya kata kalau tak dapat jadi calon, jangan sabotaj, jangan buat hal.
“Kalau ada, kalau kita menang, kamu tak dapat jawatan dalam kerajaan, jangan kamu tikam belakang,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Pilihan Raya PKR itu, beliau menaruh keyakinan terhadap strategi parti yang sudah pun dirancang pada kongres lalu untuk mempertahan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Jadi saya ada penuh keyakinan dengan saudara saudari, saya yakin kalau begini cara kita selepas satu bulan, saya yakin kalau satu bulan lagi kita akan terus berlari dan memecut seperti ini, kita bukan sahaja akan mempertahan Selangor, kita akan pertahankan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Kita ada peluang bentuk kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Sebab itu jangan tanya saya soal bila PRU. Bila dia nak panggil PRU, biar dia bergaduh sama dia. Yang ini nak macam ini, yang itu nak macam ini, biarkan dia,” katanya.- UTUSAN