PETALING JAYA : Pakatan Harapan (PH) berjanji meneruskan siasatan berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang terhenti selepas kejatuhan mereka pada Februari 2020.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya ingin berbuat demikian sekiranya rakyat memberikan mandat sekali lagi kepada mereka semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya lagi, PH di samping itu akan melaksanakan strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP).
“Kami akan memastikan tentera kita mendapat layanan terbaik dan warganya dibekalkan dengan kelengkapan yang sesuai dan terbaik bagi menjalankan tugas mereka untuk negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang disertai bersama Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, PH kesal dengan sikap pemimpin UMNO kerana dikatakan melayan tentera secara ambil mudah dengan membuat pesanan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan anggotanya.
Beliau mendakwa apa yang dipentingkan pimpinan kerajaan diterajui UMNO adalah mendapat projek untuk kroni mereka dan bukannya memenuhi keperluan tentera.
“Pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam bahawa Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarah reka bentuk LCS ditukar daripada Sigma yang diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia kepada Gowind yang dicadang pembekal Perancis, adalah contoh jelas tragedi take it or leave it (ambil mudah) yang berlaku.
“Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri di samping rakyat negara ini,” jelasnya.
Beliau menambah, KPP yang dibentang Menteri Pertahanan ketika PH mentadbir kerajaan, TLDM mengharapkan mempunyai LCS dilengkapi helikopter yang memiliki keupayaan peperangan antiudara, antipermukaan dan antikapal selam.
“LCS juga diharapkan dapat menggantikan kapal frigat dan korvet yang telah berusia,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia adalah negara maritim dikelilingi lautan dan sentiasa terdedah kepada ancaman rompakan di laut, pelanunan, penculikan untuk tebusan, penyeludupan barang terlarang, pencerobohan migran dan kecurian hasil laut oleh nelayan asing.
“Dianggarkan kerajaan rugi hampir RM6 bilion setahun akibat kegiatan perikanan haram dan jenayah lain di domain maritim kita. TLDM berperanan penting menjaga keselamatan di kawasan lautan yang kaya dengan sumber semulajadi dan hidrokarbon yang juga penyumbang utama kepada pendapatan negara,” katanya.
Semalam Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati, tadbir urus Kementerian Pertahanan dalam menguruskan kontrak pembekalan LCS adalah lemah dengan sebahagian klausa kontrak tidak mengambil kira kepentingan kerajaan.
JKSTUPKK menerusi laporan siasatan yang dinyahklasifikasikan, mendedahkan tadbir urus itu juga tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa. – UTUSAN