PH guna PAC sebagai modal politik menjelang PRU15 - Nur Jazlan

PH guna PAC sebagai modal politik menjelang PRU15 – Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa, Pakatan Harapan (PH) menggunakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai modal politik menerusi Pengerusinya, Wong Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP.

Nur Jazlan yang merupakan bekas Pengerusi PAC berkata, apa yang beliau nampak dalam isu berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kecoh sejak dua minggu lalu, tidak lain tidak bukan hanya permainan politik PH kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat.

Beliau berkata, seperti biasa PH selepas gagal mentadbir dalam kerajaan dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini, kembali kepada taktik lama mereka menghasut rakyat dengan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada pemimpin Barisan Nasional (BN).

“Agaknya mereka sedar bahawa kewibawaan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah ikon berpengaruh UMNO. Jadi mereka perlukan satu isu yang boleh diperbesar, disensasikan dan menyogok persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan UMNO dan BN serta mahu memancing undi.

“Jadi, PH menggunakan PAC yang dipengerusikan oleh Kah Woh bagi cari modal politik baharu untuk serang UMNO dan BN,” kata Nur Jazlan menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam.

Wong Kah Woh

Menurut Nur Jazlan, dalam laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang sudah dinyahklasifikasikan, terdapat lima kelemahan tadbir urus dan bukannya rasuah, perolehan dan kewangan yang ditemukan selain pemilihan reka bentuk, sistem pengurusan kombat dan sebahagian peralatan utama LCS dibuat berdasarkan syor serta pandangan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), bukan sepenuhnya daripada TLDM selaku pengguna.

“Tanpa mengetepikan kebolehan Kah Woh secara umum, beliau tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan juga dalam korporat mahupun pengauditan bertaraf antarabangsa dan jawatan kuasa yang dipimpin oleh beliau juga tidak mempunyai pengalaman yang sama selain hanya menjadi politikus. 

“Apa yang saya observe adalah dia terlalu bergantung kepada keterangan saksi yang menyokong sangkaan mereka. Mereka terlalu bergantung kepada kenyataan saksi dari BNS dan Jabatan Audit Negara yang sepatutnya di semakan silang dengan Laporan Rasmi bertulis Ketua Audit Negara.

“Dalam isu perubahan reka bentuk dari Gowind kepada Sigma dalam laporan PAC dan dikecoh-kecohkan pembangkang, yang mengatakan arahan itu datang dari surat minit Ahmad Zahid sebagai Menteri Pertahanan ketika itu. Dan perubahan reka bentuk itu adalah atas cadangan BNS. 

“Persoalannya sejak bila minit menteri menjadi satu arahan eksekutif, sepatutnya PAC panggil Ketua Setiausaha Kementerian ketika itu yang bertanggungjawab menguruskan proses perolehan untuk memberikan penjelasan dan bukannya letakkan kesalahan ke atas Ahmad Zahid. Itulah peranan KSU dalam kementerian sebagai semak dan imbang,” katanya.

Nur Jazlan yang juga merupakan seorang akauntan berkata, tadbir urus korporat profesional membabitkan pengarah, pengurusan dan auditor mempunyai kredibiliti profesional yang boleh terhapus serta merta jika mereka cuai atau pecah amanah dalam menjalankan tugas.

Pengarah, pengurusan dan auditor ini juga katanya, terdedah kepada liabaliti profesional jika tuduhan tidak berasas atau melulu terhadap mereka seperti yang dilakukan oleh Kah Woh dan PAC yang kemudiannya dijadikan isu politik oleh pembangkang semata-mata untuk digunakan sebagai bahan PRU15.

“Maka sebab itulah baru timbul isu laporan LCS oleh PAC yang saya nampak lebih banyak diperisakan dengan tuduhan-tuduhan jahat berbaur politik terhadap pemimpin UMNO. Sebagai akauntan profesional dan bekas pengerusi PAC, saya amat arif tentang tata cara dan prosedur dalam setiap pelaporan penemuan yang dibuat oleh PAC.

“Dalam isu pengauditan, syarikat audit yang dilantik untuk membuat pengauditan forensik itu pun perlu didedahkan kerangka syarikatnya sama ada memiliki pengalaman dan kepakaran pengauditan kejuruteraan pembinaan berteknologi tinggi ini atau bertaraf antarabangsa,” katanya.

Selain itu, kata Nur Jazlan, beliau difahamkan syarikat audit yang dilantik itu hanya berpengalaman dalam pengauditan kewangan dan perbankan sahaja, maka perlu diselidik terma rujukan serta skop pengauditan yang diberikan kepada mereka.

Sementara itu, Nur Jazlan menggariskan beberapa perkara kenapa beliau menyatakan isu LCS sengaja dijadikan modal politik PRU-15 oleh PH.

“Antaranya dalam laporan perolehan LCS sebanyak 169 halaman oleh PAC tidak disebut ada berlaku jejak wang (money trail) atau rasuah yang wujud sama ada membabitkan bekas Perdana Menteri atau bekas menteri-menteri pertahanan sehingga didakwa kononnya pemimpin UMNO terbabit rasuah.

“Yang didedahkan adalah punca kelewatan yang disebabkan isu keseragaman dan pengurusan antara kontraktor utama BNS, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), TLDM dan sub-kontraktor di Perancis dan Jerman.

Dalam pada itu katanya, sepatutnya PAC nyatakan secara terperinci mana stok yang usang dan tidak usang, bukan secara pukul rata yang jelas berniat untuk dijadikan bahan politik malahan, LTAT menjelaskan, pembinaan enam kapal itu dibuat secara serentak dan stok pula dibeli secara pukal kerana lebih murah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya