Peruntukan perbelanjaan kesihatan awam hanya 2.59 peratus

Peruntukan perbelanjaan kesihatan awam hanya 2.59 peratus – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan meminta Kabinet meningkatkan jumlah perbelanjaan terhadap sistem kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ini kerana, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kebanyakan negara berpendapatan pertengahan membelanjakan sekitar empat ke lima peratus daripada KDNK.

“Kita hanya 2.59 peratus perbelanjaan kesihatan awam daripada KDNK. Sebab itulah, kita mendengar keluhan dan aduan rakyat. Masa menunggu untuk jumpa doktor terlalu lama, nak dapat laporan MRI atau CT untuk pesakit kanser kena tunggu sampai tiga ke empat bulan.

“Senarai menunggu MRI di Hospital Kuala Lumpur pun tiga bulan. Itu baru hospital, belum lagi keadaan di klinik kesihatan, klinik desa, kuarters dan wad,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022.

Sebab itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbang peningkatan perbelanjaan terhadap kesihatan, menjelang Bajet 2023 pada Oktober ini. 

“Saya tahu semua kementerian minta duit kepada Perdana Menteri dan semua kementerian sama penting, tetapi ada juga kementerian lebih penting daripada kementerian lain.

“Sebab tugas utama kita adalah nyawa, hidup dan mati, jadi saya nak Perdana Menteri ingat saru angka iaitu lima, bukan RM5 bilion atau RM5 juta tapi lima peratus daripada KDNK,” katanya.

Pada masa sama, katanya, dengan peruntukan perbelanjaan yang lebih tinggi, Kertas Putih Kesihatan akan dapat melakukan perubahan jangka panjang terhadap sistem kesihatan.

“Covid-19 mendedahkan kelemahan sistem kesihatan kita, betapa lamanya sistem tidak menerima pelaburan yang setimpal dengan tugas dan tanggungjawab oleh kementerian dan sistem kesihatan awam. Kita nak melihat satu sistem berdaya tahan dan kalis masa hadapan.

“Saya tahu hati budi Perdana Menteri sebagai pemimpin yang sayang kepada rakyat dapat berkongsi wawasan dan visinya bagi memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan bertaraf dunia untuk memberi perkhidmatan pada kadar hampir percuma untuk masa akan datang.

“Bukan sahaja sistem kesihatan awam terus terpelihara tapi mendapat sokongan yang setimpal dengan pengorbanan ratusan ribu warga Kementerian Kesihatan yang memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.