Perubahan kepimpinan PBS, Warisan strategi hadapi PRU-15

Perubahan kepimpinan PBS, Warisan strategi hadapi PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dua parti tempatan Sabah berhadapan perubahan kepimpinan semasa persidangan agung tahunan yang diadakan baru-baru ini.

Perubahan yang berlaku pastinya memberi cabaran kepada parti masing-masing untuk berhadapan pilihan raya yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

Dua parti yang telah mengadakan pemilihan pada tahun ini ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan (Warisan).

Selepas pemilihan parti, PBS kekal diterajui oleh Ahli Parlimen Kota Marudu, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Timbalan-timbalan Presiden PBS pula terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Datuk Dr. Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang) dan Datuk Yee Moh Chai.

Naib-naib Presiden pula ialah Ruslan Muharam (ADUN Lumadan), Mursid Mohd. Rais, Hendrus Anding, Johnny Mositun dan Arthur Sen.
Setiausaha Agung Datuk Julita Majungki, Bendahari Agung Lu Kim Yen dan Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai. Ketua Pemuda kekal milik Christopher Mandut manakala, Ketua Wanita Malianah Ugau.

Bagi Warisan pula, tiga jawatan tertinggi parti dikekalkan dan tidak menyaksikan sebarang pertandingan. Maka, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kekal sebagai Presiden manakala Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking kekal Timbalan Presiden.

Naib-naib Presiden turut dikekalkan dan satu jawatan naib presiden dimenangi tanpa bertanding oleh Terrence Siambun yang juga bekas Bendahari Agung Warisan. Dua Naib Presiden lain ialah Datuk Junz Wong (ADUN Tanjung Aru) dan Datuk Jaujan Sambakong (ADUN Sulabayan).

Setiausaha Agung kekal milik Datuk Loretto S. Padua, Ketua Penerangan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari, Ketua Wanita Norazlinah Arif (ADUN Kunak), Ketua Wira Mohd. Ismail Ayub dan Ketua Wirawati Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, perubahan kepimpinan dalam kedua-dua parti tempatan itu merupakan amalam demokrasi yang biasa.

Perubahan kepimpinan yang berlaku harus dilihat sebagai sebahagian daripada strategi untuk menghadapi PRU-15.

“Apa yang dapat dilihat, pemilihan telah dilakukan tanpa sebarang unsur-unsur atau cerita konspirasi seperti pemilihan parti PKR. Malah, keputusan pemilihan juga tidak dicabar oleh mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, fokus kedua-dua parti iaitu PBS dan Warisan pada masa ini harus diberikan kepada usaha memenangi kepercayaan pengundi untuk mengundi mereka pada PRU-15. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN