BUKIT GANTANG: Pas tidak terdesak atau mahu menumpang tuah UMNO apabila parti itu tetap mahu mempertahankan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, keputusan Pas itu bertepatan dengan pendirian parti itu untuk bekerjasama dengan semua parti Melayu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi penyatuan ummah dan mengelakkan perpecahan bangsa.
Menurutnya, namun ada pihak yang cuba mencetuskan perpecahan dan melaga-lagakan di atas usaha murni Pas itu dengan memberi gambaran Pas terdesak dan hanya ingin menumpang tuah BN atau UMNO.
“UMNO marahkan Bersatu, sebab itu mereka tidak mahu untuk bekerjasama dalam MN. Kita faham UMNO marah Bersatu kerana sebab-sebab tertentu tetapi mereka sepatutnya berbincang terlebih dahulu dan meletakkan penyatuan ummah sebagai keutamaan.
“Kena fikirkan kenapa Pas sanggup membuat penyatuan ummah melalui MN dengan UMNO, ini kerana Pas pentingkan penyatuan ummah berbanding mengingati perkara-perkara yang telah lepas.
“Dahulunya, sebelum wujud MN, di setiap pentas politik, apa yang saya tak kata terhadap UMNO? Begitu juga UMNO mengata Pas.
“Namun semua perkara itu kita ketepikan kerana kita semua sedar sekiranya berpanjangan akan menyebabkan perpecahan, sebab itu kita melakukan penyatuan ummah melalui MN,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Amal di Markas Pas Sungai Tinggi Trong di sini hari ini.
Menurut Idris, ada juga yang bertanya jika Pas benar-benar mahukan penyatuan ummah kenapa tidak jempat juga parti Amanah.
“Kita telah berulang kali beritahu, kita boleh terima Amanah untuk penyatuan ummah namun Amanah perlu meninggalkan DAP terlebih dahulu dan kita akan terima dengan hati yang terbuka,” katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, Pas terdesak untuk mengadakan kerjasama dengan BN atas alasan penyatuan ummah agar parti itu terus relevan pada PRU15.
Isham berkata, alasan Pas itu hanyalah untuk ‘menumpang tuah’ BN setelah parti itu merasakan kerjasama dengan Bersatu tidak ada harapan lagi. – UTUSAN