Penjajahan bentuk baharu era modenisasi ancaman negara 

Penjajahan bentuk baharu era modenisasi ancaman negara – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bentuk penjajahan di era modenisasi tidak lagi sama seperti era kolonial dan ia adalah satu ancaman berbahaya serta cara paling mudah menjarah minda dan jati diri bangsa, sekali gus mampu menghancurkan sesebuah negara.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan, jika tidak mempertahan kemerdekaan yang diperjuang wira-wira terdahulu, maka sejarah mungkin berulang dan negara kembali dijajah. 

Beliau berkata, bentuk penjajahan moden yang muncul ketika ini dan semua negara di dunia  terkena dampaknya, yakni penjajahan baharu dalam bidang ekonomi, teknologi  serta budaya. 

“Anasir luar ini menggunakan pelbagai cara untuk menjajah semula dalam bentuk yang lebih canggih. 

“Meskipun ancaman penjajahan baharu ini bukanlah dari segi fizikal, ia sangat berbahaya dan cara paling mudah untuk menjarah minda dan jati diri bangsa. Seterusnya mampu menghancurkan sesebuah negara,” katanya dalam perutusan khas Hari Kebangsaan, malam ini.

 Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, hanya rasa cinta kepada negara membolehkan semua rakyat terus bekerjasama dan  bersatu padu untuk mempertahan nilai-nilai kedamaian, keamanan dan  kemerdekaan bagi membangun dan menjaga kedaulatan negara.

“Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkeluarga, keluarga dilindungi; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa  diutamakan. Sesungguhnya kita semua satu keluarga, Keluarga Malaysia  penyambung warisan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, semangat perjuangan pahlawan kemerdekaan perlu digilap kepada generasi baharu supaya mengenal sejarah pejuang terdahulu di samping menyedarkan pemimpin bangsa ke arah landasan betul menurut tuntutan dan ajaran agama. 

Beliau berkata, semangat dan perjuangan yang wujud sejak dulu, terus mengalir dan diterjemahkan dalam Rundingan Kemerdekaan pada tahun 1956, di Kota London.  

Menurut beliau, nilai kemerdekaan ini akhirnya yang berjaya memupuk perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia berbilang kaum, bangsa dan agama,  selain integrasi nasional silang budaya merentasi Semenanjung, Sabah dan  Sarawak. 

“Tiada ungkapan yang dapat dizahirkan untuk menggambarkan sanjungan dan rasa terima kasih ke atas perjuangan serta pengorbanan pejuang negara terdahulu termasuk anggota keselamatan, tentera dan polis,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.