Pengisian bulan kemerdekaan ketinggalan zaman - Utusan Malaysia

Pengisian bulan kemerdekaan ketinggalan zaman

MARZUKI Hanafi, 53, menyiapkan dekorasi 'Kereta Merdeka' sempena bulan kemerdekaan. Lebih 40 helai bendera digunakan dan ia dijadikan sebagai aktiviti tahunan yang dijalankan oleh Pusat Komuniti KRT Kampung Atas A&B Kampung Baru. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Program pengisian bulan kemerdekaan negara perlu dibentuk semula oleh kerajaan kerana ia telah pun 65 tahun dilaksanakan dan tidak lagi relevan pada ketika ini.

Pengisiannya selama ini boleh dianggap gagal kerana sehingga kini masih terdapat rakyat yang perlu disuruh memasang Jalur Gemilang setiap kali bulan kemerdekaan.

Walaupun dikenakan denda, masih terdapat premis perniagaan yang tidak memasang Jalur Gemilang dan ia bukan perkara baharu sebaliknya berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, sambutan bulan kemerdekaan tetap perlu diadakan tetapi mesti diperluaskan membabitkan setiap daerah di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu peringkat negeri sahaja.

“Keduanya, program pengisian kemerdekaan perlu dipupuk dalam diri seseorang bermula dari kecil lagi dan perlu berterusan agar jiwa rakyat sebati dengan perasaan itu.

“Ia boleh dilaksanakan menerusi forum dan seminar penghayatan kemerdekaan yang perlu diadakan setiap masa supaya semangat patriotisme sentiasa menebal dalam jiwa rakyat,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Aripin berkata, kerajaan juga perlu memperkasakan sukan rakyat antara kaum supaya ia kekal diwarisi sepanjang masa.

“Di Pahang ini misalnya, kita banyak sungai, boleh diadakan sukan perlumbaan perahu kemerdekaan untuk semua kaum, ia juga boleh melibatkan penyertaan peserta peringkat antarabangsa.

“Lawatan antara kaum juga perlu diadakan setiap masa, ini penting supaya perpaduan kaum di negara ini terus kekal utuh dan tidak tergugat walaupun berlaku perselisihan.

“Pertukaran program Sabah dan Sarawak serta Semenanjung perlu diadakan setiap masa supaya rakyat negara ini kekal bersatu padu dan sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan seperti pantun merdeka, debat merdeka perlu diadakan setiap masa terutama di sekolah-sekolah dan boleh diperluaskan peringkat antarabangsa.

“Walaupun pertandingan peringkat ASEAN sekalipun, ia perlu diadakan di Malaysia. Ini penting supaya kita dapat memperkasakan kedaulatan dan kemerdekaan peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, anugerah merdeka telah pun dibuat oleh kerajaan tetapi ia perlu disemak semula supaya lebih tersusun.

“Misalnya adakan buku riwayat hidup,  10 muka surat pun tak apa. Bukan sekadar diberikan hadiah, tetapi buku itu kita perlu dokumenkan supaya ia boleh dibaca dan disimpan.

“Kita perlu semarakkan sejarah jasa kemerdekaan dalam segala bidang. Bukan sekadar politik, ia juga perlu merangkumi tentera, penulis, ulamak dan lain-lain lagi,” katannya.

Beliau berkata, generasi muda perlu terus diberikan kesedaran bahawa keamanan dan kesejahteraan negara bukan percuma sebaliknya perlu dibayar dengan harga mahal melalui peluh keringat, darah serta nyawa pejuang negara terdahulu termasuk anggota pasukan keselamatan.

“Untuk menggilap semangat patriotik, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk generasi muda agar cintakan negara.

“Rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus dipupuk dari peringkat awal alam persekolahan dan di institusi pengajian tinggi (IPT),”  katanya.

Aripin berkata, pendidikan awal di rumah menjadi teras utama dalam mendidik dan memupuk semangat patriotisme dalam jiwa anak.

“Keluarga dan golongan pendidik serta semua pihak berkepentingan harus berusaha keras memastikan kelangsungan toleransi antara kaum dan agama yang sedia ada dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, ketika ini umum mengetahui terdapat pihak yang cuba menyemai semangat perkauman dan kebencian.

“Jadi, amat penting untuk semua pihak bersama-sama berusaha keras menyemai semangat patriotisme, hormat menghormati antara kaum dan agama serta bertolak ansur di samping mewujudkan masyarakat yang cinta negara dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya