JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda dipandunya merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi Jalan Senangin 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh treler di bahu kanan jalan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.
“Siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih, Pegawai Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata, seramai lapan anggota dengan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton melanggar treler yang sedang parkir di tepi jalan. – UTUSAN