SEREMBAN: Peguam kepada Khalid Redza Shuib, individu yang dituduh membunuh seorang kanak-kanak perempuan dan wanita yang ditemukan dalam gaung pada April lalu, memohon kepada Mahkamah Majistret Seremban hari ini supaya anak guamnya itu dirujuk kepada pihak psikiatri.
Peguamnya, Akif Rusli berkata, Khalid Redza, 41, mempunyai masalah gangguan manakala anak perempuannya di bawah umur yang turut dituduh membunuh seorang kanak-kanak, Hanan Hasrul Izwan,5, merupakan orang kurang upaya (OKU) dan difahamkan mempunyai sedikit masalah mental.
“Saya memohon agar kedua-dua tertuduh disemak kesihatan mereka dengan pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya juga dimaklumkan anak perempuannya mengalami semput dan mempunyai kad OKU, oleh itu saya memohon semakan mental bagi kedua-dua tertuduh oleh pihak psikiatri,” katanya pada prosiding mahkamah di sini hari ini.
Beliau membuat permohonan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memaklumkan bahawa laporan makmal, kimia dan forensik masih belum diperoleh.
Majistret, Mohd. Firdaus Salleh memberitahu, beliau mengambil maklum permohonan dibuat oleh pihak pembelaan, namun tidak menerima permohonan untuk merujuk kedua-kedua tertuduh kepada pihak psikiatri atas alasan tiada dokumen sokongan dikemukakan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Majistret, Norzaliza Tesmin berkata, berdasarkan penilaian didapati Khalid Redza tidak mempunyai masalah mental serta memahami pertuduhan ke atasnya.
“Sekiranya perlu, pada tarikh akan datang boleh membuat permohonan (untuk merujuk tertuduh kepada pihak psikiatri) dengan disertakan dokumen sokongan,” katanya.
Permohonan sama untuk turut dikemukakan pihak pembelaan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed di Mahkamah Sesyen.
Mahkamah menetapkan kesemua kes tersebut disebut semula pada 23 September depan.
Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.
Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29.
Di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN