PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) meluluskan pelaburan sebanyak RM17.25 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaburan yang bakal menghasilkan 12,315 peluang pekerjaan baharu itu disokong pertumbuhan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik, mekanikal dan elektrikal selain peranti perubatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Kata beliau, ia termasuk pelaburan asing oleh Baladna Food Industries dari Qatar sebanyak RM2.1 bilion untuk membangunkan projek ladang tenusu bersepadu di Chuping, Perlis bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.
“Ia sekali gus membuktikan keyakinan pelabur swasta terhadap ekonomi dan ekosistem pembangunan bakat di wilayah tersebut.
“Justeru, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri turut memastikan bekalan air, elektrik serta jaringan komunikasi tersedia dalam usaha untuk meyakinkan lebih ramai pelabur ke kawasan NCER,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis NCIA Ke-29, semalam.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Ismail Sabri berkata, NCIA giat merangka pelbagai usaha inklusif termasuk menubuhkan tabung Dana Pembangunan Modal Insan NCER bagi meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam program sosioekonomi strategik.
Katanya, tabung itu bagi merangsang penyertaan sektor swasta dalam program pembangunan modal insan mampan dan usahawan.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, mesyuarat bersetuju program bantuan kos sara hidup menggunakan kad tanpa tunai di samping pembangunan kemahiran dan keusahawanan NCER diterapkan di bawah program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).
“Pelaksanaannya akan diperincikan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
“Selain itu, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan NCIA untuk menganjurkan persidangan Pihak Berkuasa Koridor Wilayah bagi membincang dan menghuraikan amalan terbaik serta pencapaian,” katanya. – UTUSAN










