Nancy Pelosi kunjungi Speaker Dewan Rakyat di Parlimen - Utusan Malaysia

Nancy Pelosi kunjungi Speaker Dewan Rakyat di Parlimen

NANCY Pelosi mengadakan pertemuan bersama Azhar Azizan Harun dan barisan kepimpinan politik negara di Parlimen. - PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi mengadakan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun di bangunan Parlimen semalam.

Pelosi dalam lawatan rasminya ke negara ini, tiba di bangunan Parlimen sekitar 11.50 pagi, diiringi Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.

Pelosi kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Azhar di Bilik Kunjung Hormat selama satu jam sebelum meninggalkan bangunan Parlimen untuk menyertai jamuan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di ibu negara.

Azhar dalam satu sidang akhbar memaklumkan, beberapa isu negara dibincang bersama Pelosi, termasuk isu kelapa sawit serta pemerdagangan manusia di negara ini.

Tambahnya, kerajaan tidak mempunyai sebarang maklumat yang hendak disembunyikan, sekali gus bertentangan dengan apa yang sering dilaporkan media global berhubung isu tersebut.

“Kita telah membincangkan bersama-sama isu antara Malaysia dan AS serta isu global lain, antaranya tentang isu kelapa sawit yang telah sekian lama menjadi isu agak kontroversi antara malaysia dan AS, dan kita ingin cari jalan, terus mengadakan libat urus antara dua kerajaan mengenai isu kelapa sawit ini.

“Saya tekankan Malaysia tidak ada apa-apa hendak disembunyikan mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap industri kelapa sawit negara. Saya berharap agar hubungan atau engagement secara multilateral boleh diadakan antara AS dan Malaysia untuk cari penyelesaian, win-win solution,” katanya.

Turut serta mewakili delegasi Malaysia, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Md Dun; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Selain itu tambah Azhar, perkara lain yang turut menjadi perbincangan adalah tentang keberadaan Malaysia di tahap tiga dalam laporan tahunan pemerdagangan manusia.

“Saya tekankan Malaysia sedang ambil tindakan yang kukuh untuk perbaiki keadaan dan perkara ini akan dibangkitkan juga oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama dengan Speaker Pelosi,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, Pelosi memberi maklum balas yang cukup baik berhubung penerangan Malaysia.

“Respons yang cukup baik sekali kerana beliau amat teruja dengan keadaan kita di sini dan berkata ia merupakan sesuatu yang agak di luar jangkaan beliau.

“(Pelosi) datang dengan hati terbuka untuk belajar daripada pengalaman kita dan kita juga mempunyai hati yang terbuka untuk belajar daripada pengalaman Amerika Syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN