NAEZ di Chuping perkasa  sekuriti makanan negara - Utusan Malaysia

NAEZ di Chuping perkasa  sekuriti makanan negara

NURULHISHAM YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri sedang membangunkan Zon Ekonomi Agribio Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NAEZ) bagi memperkasakan sekuriti makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Nurulhisyam Yaakob berkata, NAEZ dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) diterajui sektor swasta.

Menurut beliau, NAEZ menyasarkan lebih RM2.5 bilion pelaburan dan 2,000 peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan produktiviti serta daya saing rantaian nilai industri pertanian.

“Projek ini turut melibatkan sektor hiliran dan huluan pertanian, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, modal insan dan aspek pembiayaan projek.

“NAEZ dibangunkan di Chuping adalah sebahagian daripada jaringan pertanian utama NAEZ Chuping-Bukit Kayu Hitam dengan FGV Holdings Berhad (FGV) dan juga rakan strategik utama berskala besar dalam membangunkan NAEZ Chuping melalui Chuping Agro Valley (CAV),” katanya dalam sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Mohd. Ridzuan Hashim (Pas-Guar Sanji) berkenaan perancangan untuk menjadikan Perlis sebagai hab pertanian skala sederhana dan besar bagi menjamin bekalan makanan untuk masa akan datang.

Pembangunan

Menurut Nurulhisyam, pembangunan kawasan CAV seluas 4,498.99 hektar mempunyai dua projek utama iaitu ladang tenusu integrasi bagi ternakan lembu tenusu seluas 3,258.92 hektar.

“Bagi projek Integrated High Value Cash Drop  CAV, ia menempatkan tanaman nanas MD2, pisang jenis Cavendish dan mangga harumanis seluas 1,240.07 hektar.

“Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian juga memperkenalkan program Kebun Bandar melibatkan 228 projek dengan 6,138 peserta menerusi peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM1 juta,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM750,000 bagi melaksanakan projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik melibatkan 125 peserta di 15 DUN dan jumlah itu akan ditambah kepada 40 peserta di setiap DUN selepas ini.

Katanya, terdapat 10 projek skala besar lain melibatkan penyertaan sektor swasta bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara seperti Superfruit Valley, projek penanaman kopi secara bersepadu, ternakan lembu, bebiri dan ayam kampung selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025

“Dengan hasrat menjadi pengeluar benih padi berkualiti, Perlis juga memiliki ladang benih padi dengan keluasan 567.67 hektar dan dijangka mampu menampung keperluan pesawah negeri mendapatkan benih padi  yang sah.

“Kita juga akan memperluaskan kawasan tanaman jagung bijian di Lembah Chuping dengan menyasarkan penambahan 500 hektar tanaman itu menjelang 2025 dengan hasil bernilai RM21.5 juta,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya