MKT UMNO tak bincang tarikh PRU15, Parlimen bubar

MKT UMNO tak bincang tarikh PRU15, Parlimen bubar

BUNG Moktar Radin bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini tidak membincangkan isu melibatkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mahupun desakan mengenai pembubaran Parlimen.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, mesyuarat itu lebih banyak menumpukan kepada gerak kerja parti memandangkan PRU15 semakin hampir.

Katanya, mesyuarat juga tidak membincangkan isu melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Mengapa pula kena bincang pasal dia? Dia hadir mesyuarat tadi tapi benda tak penting kita tak bincang, kita bincang benda penting. Perkukuhkan parti, parti kuat calon menang.

“Soal bubar tak ada, itu bukan kerja saya. Kita bincang kuatkan parti, tarikh PRU pun tak ada, itu hak Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui selepas selesai menghadiri mesyuarat tersebut sebentar tadi.

Seorang lagi ahli MKT, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan, mesyuarat turut membincangkan mengenai solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bila PRU15? Dalam masa terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi malam ini.

“Berita tentang UMNO sudah agak banyak selepas Taklimat Khas Presiden petang tadi di Dewan Merdeka. Mesyuarat telah berjalan dengan baik,” katanya melalui akaun media sosial miliknya.

Mesyuarat MKT UMNO bermula bermula pada 9 malam dan berakhir sekitar 11.15 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN