Menteri ‘Maori’ New Zealand kongsi isu polisi luar negara kecil

Menteri Maori New Zealand kongsi isu polisi luar negara kecil

Nanaia Cybelle Mahuta
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jadual lawatan kerja rasmi Menteri Luar New Zealand, Nanaia Cybelle Mahuta selama tiga hari dipenuhi dengan pelbagai acara padat sepanjang beliau berada di negara ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini adalah julung kali tokoh berkenaan datang sejak dilantik sebagai menteri luar yang pertama dalam kalangan wanita negara itu pada 6 November 2020 lalu.

“Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan beliau yang diiringi para pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan New Zealand,” katanya.

Mahuta amat terkenal kerana menjadi anggota Parlimen yang pertama di New Zealand tampil mencacah tatu unik tradisi lambang tertinggi etnik pribumi Maori iaitu ‘moko kauae’ di wajahnya.

Bahkan, beliau muncul sebagai orang asli pertama di negara itu yang menyandang jawatan menteri luar selain pernah mengisi pelbagai portfolio lain termasuk Menteri Pembangunan Maori.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Saifuddin dan Mahuta dijadualkan bertukar-tukar pandangan meliputi pelbagai isu dua hala, serantau dan sejagat yang berkepentingan bersama.

“Antara topik utama perbincangan mereka termasuk mengenal pasti mekanisme yang bersesuaian bagi mengukuhkan hubungan antara Putrajaya dan Wellington,” jelas kenyataan tersebut.

Paling unik, beliau turut dijemput khas untuk menyampaikan syarahan am di auditorium Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di Kuala Lumpur selama sejam bermula 11 pagi pada Isnin ini.

Ceramah yang juga disiarkan atas talian dan dianjurkan agensi Wisma Putra itu menyaksikan beliau berkongsi kisah pengalaman New Zealand dengan tajuknya ‘Dasar Luar Negara Kecil.’

Mahuta turut akan bertemu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi membincangkan isu berkaitan kerjasama antara komuniti orang asli di kedua-dua negara.

 “Lawatan ini memaparkan komitmen Malaysia menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan New Zealand selain peluang bagi meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor,” katanya.

 Selain Pertubuhan Bangsa Bersatu, kedua-dua negara menganggotai Pertubuhan Komanwel dan Pengaturan Pertahanan Lima Negara serta Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN