Masalah banjir lebih 30 tahun bakal berakhir - Utusan Malaysia

Masalah banjir lebih 30 tahun bakal berakhir

ZAIRIL KHIR Johari (kiri) ketika meninjau projek tebatan banjir di Solok Van Praagh, Jelutong, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Masalah banjir yang membelenggu lebih 300 penduduk di kawasan Van Praagh di Jelutong, di sini sejak 30 tahun lalu bakal selesai selepas projek tebatan banjir di Solok Van Praagh siap sepenuhnya dua tahun lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan yang bernilai RM5.71 juta mula dilaksanakan 1 Jun lalu dan dijangka siap pada 31 Mei 2024.

Menurut beliau, kawasan banjir kritikal yang dikesan sering berlaku adalah di kawasan rendah seperti di Solok Van Praagh, Persimpangan Jalan Van Praagh, Jalan Sir Ibrahim, Lengkuk Hijau dan Lintang Slim.

”Projek ini dijangka menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi lebih 300 penduduk di kawasan Van Praagh sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau projek tebatan banjir di Solok Van Praagh, di sini hari ini.

Menurut Zairil, projek tebatan banjir itu dilaksanakan bertujuan mengurangkan risiko banjir di sekitar kawasan perumahan Solok Van Praagh dengan menyediakan aras perlindungan banjir kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, kawasan itu pada 2020 dilanda banjir teruk sehingga mencecah aras lutut dan akan dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

“Sebelum ini juga kita ada melaksanakan projek pembesaran parit dan mendalamkan longkang-longkang, namun masih belum dapat menyelesaikan masalah banjir di sini,” katanya.

Zairil berkata, hujan lebat menyebabkan air larian permukaan yang banyak dan berkelajuan tinggi dari bahagian hulu ke hilir.

Tambahnya, projek itu melibatkan kolam takungan banjir bawah tanah berkapasiti 5,175 meter (m) persegi dengan keluasan 2,200 meter persegi serta 2.6 meter dalam iaitu menyamai dua buah kolam renang Sukan Olimpik.

“Projek tebatan ini juga merangkumi tanjakan akses (access ramp). Selain itu, projek ini juga merangkumi saluran lencongan bersaiz 1.5 meter kali 0.75 meter dengan 80 meter panjang yang berfungsi mengalirkan sebahagian aliran air dari Jalan Hamilton ke kolam takungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN